
KUALA LUMPUR: Satu berita gembira untuk Malaysia apabila mana regu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dikhabarkan telah berjaya mempertahankan pingat gangsa sekaligus pingat pertama Malaysia di temasya Olimpik Paris 2024.
Mereka telah menewaskan pasangan Denmark Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup dalam set penentuan, dan wakil negara ini telah terbukti mengulangi pencapaian di temasya Olimpik Tokyo 2020.
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, berita gembira tersebut menjadi salah satu bukti kukuh bagaimana sukan boleh menjadi ejen perpaduan yang amat berkesan, menggabungkan semangat kebangsaan dan sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang.
Menurutnya, sejak awal lagi, rakyat Malaysia telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada para atlet yang berjuang di temasya Olimpik.
“Bendera Jalur Gemilang berkibar megah di pelbagai sudut, baik di dalam negara mahupun di luar negara, menandakan betapa besarnya harapan dan doa kita untuk kejayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, media sosial dibanjiri dengan ucapan semangat, tanda pagar seperti #TeamMalaysia, #MalaysiaBoleh, dan #DemiMalaysia menjadi ikutan, membuktikan betapa kita semua bersatu hati dalam memberikan sokongan moral kepada wira dan wirawati negara.

“Saya dikhabarkan bahawa bukan hanya sekadar sokongan moral, pelbagai inisiatif telah diambil oleh pelbagai pihak untuk menyokong para atlet Malaysia.
“Dari peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hingga syarikat korporat, semua pihak turut serta dalam memberikan sumbangan untuk memastikan persiapan dan kesejahteraan atlet berada di tahap terbaik.
“Gerakan pendanaan, tajaan kem latihan, dan penyediaan fasiliti bertaraf antarabangsa adalah antara usaha-usaha yang menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menyokong perjuangan mereka,” ujarnya.
Beliau menyatakan lagi, setiap kali atlet Malaysia berjaya meraih pingat atau mencapai prestasi yang membanggakan, ia menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh rakyat.

“Kejayaan mereka bukan sahaja membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa, tetapi juga menunjukkan bahawa dengan usaha keras dan sokongan padu, kita boleh mencapai apa sahaja,” kata Ismi.
Beliau menyatakan bahawa kisah-kisah inspirasi ini menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk terus berjuang dan mengejar impian mereka, tidak kira dalam bidang sukan atau apa sahaja bidang yang diceburi.
Temasya Olimpik 2024 di Paris, tegas beliau, adalah satu bukti nyata bahawa sukan mampu menjadi ejen perpaduan yang kuat.
“Dalam tempoh ini, kita dapat melihat bagaimana semangat kebangsaan dan perpaduan dapat mengatasi segala perbezaan dan menyatukan rakyat Malaysia dalam satu matlamat yang sama iaitu menyokong perjuangan atlet kita.
“Semoga semangat perpaduan ini akan terus subur dan menjadi asas kepada kejayaan kita dalam apa jua cabaran yang mendatang.
“Demi Malaysia, kita berdiri teguh bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/202




















