
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim mengucapkan selamat berjuang kepada jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang yang turun ke gelanggang Sukan Olimpik 2024, hari ini.
Katanya, Azizul menjadi sandaran dan harapan buat semua rakyat Malaysia untuk memungut pingat emas sulung pada Sukan Olimpik.
“Semoga pengorbanan dan segala jerih perih yang dilalui oleh beliau melayakkan beliau untuk mendapat pingat emas dalam acara tertinggi ini.
“Mohon doa semua agar beliau dipermudahkan dan menggungguli kejohanan,” ujarnya menerusi laman sosial beliau, malam tadi.
Katanya, Azizul akan memperagakan aksi bagi memastikan kutipan pingat emas mampu untuk disumbangkan kepada seluruh rakyat Malaysia
“Apa yang kita harapkan adalah kejayaan beliau setelah usaha gigih, pengorbanan, segala-galanya dicurahkan oleh Azizul untuk mencapai kejayaan pada Sukan Olimpik Paris kali ini
“Mudah-mudahan kejayaan beliau memberikan suntikan semangat kepada atlet-atlet selepas ini seluruh negara, akan berusaha gigih untuk memberikan sesuatu buat negara kita.
“Buat Dato’ Azizulhasni, selamat berjuang dan pastikan kejayaan milik anda. Malaysia boleh!” ujarnya yang juga ADUN Tepuh.
Azizulhasni kini menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia untuk merealisasikan hasrat memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
Ini berikutan sandaran yang diletakkan kepada skuad badminton tidak berpeluang melakukan demikan sebaliknya menyumbang dua pingat gangsa.
Azizul yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020 menerusi acara keirin, diharapkan mampu memenangi emas kali ini.
Pelumba berusia 36 tahun itu bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memulakan saingan di Velodrom Saint Quentin en Yvelines Velodromem, hari ini.
Azizul dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan bertarung dalam acara pecut bermula hari ini hingga Jumaat sementara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang bertanding pertama kali di Sukan Olimpik menyertai acara keirin wanita hari ini dan esok.
Nurul Izzah juga menyertai acara pecut wanita pada hari Jumaat hingga Ahad.
Azizul yang merupakan juara dunia keirin 2017 dan Shah Firdaus pula akan turun ke gelanggang dalam acara keirin lelaki pada Sabtu dan Ahad. – HARAKAHDAILY 7/8/2024











