Nenggiri: Jangan terbuai gula-gula politik kerajaan Umno-DAP

Calon PERIKATAN NASIONAL pada PRK DUN Nenggiri, Rizwadi Ismail (kiri) sentiasa turun padang untuk bersama-sama masyarakat termasuk ke kawasan penempatan Orang Asli.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ia adalah satu lagi babak politik kerajaan Umno-DAP di mana Nenggiri sekali lagi disajikan dengan janji-janji manis menggambarkan masa depan cerah dan penuh pembangunan.”

Itu kenyataan penegasan Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) mengulas mengenai laporan tentang Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dengan penuh semangat menjanjikan pembangunan pesat jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri. 

- Advertisement -

“Bayangkan, dalam tempoh setahun sahaja, seluruh kawasan tersebut akan berubah wajah, seolah-olah sihir politik bakal menyulap semuanya menjadi indah belaka.

“Kononnya, kerusi ini perlu kembali ke pangkuan BN untuk memastikan pembangunan tidak terbantut. 

“Hebat betul gula-gula ini, sehingga boleh membuatkan rakyat terlupa seketika akan realiti yang lebih pahit,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Pemuda PN, tidak cukup dengan itu, agensi-agensi besar seperti KESEDAR dan FELDA turut diminta bermain peranan untuk memastikan kemenangan BN. 

“Agaknya mereka ini akan membawa tongkat sakti yang boleh memadam segala masalah dan menggantikan dengan kemajuan sekelip mata.

“Namun, di sebalik janji-janji manis ini, timbul persoalan, mengapa perlu menunggu PRK untuk melakukan semua ini? 

“Adakah pembangunan hanya boleh dilakukan jika BN menang? 

“Atau mungkin ini sekadar taktik lama yang diulang tayang, dengan harapan rakyat akan termakan umpan sekali lagi?”  soal  kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, rakyat Nenggiri diingatkan agar jangan membiarkan diri terbuai dengan gula-gula politik yang kelihatan manis di luar, tetapi mungkin kosong di dalam.

“Sebelum membuat keputusan (ketika mengundi), fikirkanlah baik-baik sama ada janji ini akan benar-benar ditunaikan, atau sekadar retorik politik yang akan hilang sebaik sahaja undi dikira,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -