Dalil untuk DAP, adanya kod etika pakaian

- Advertisement -

LUANA Alonso, perenang wanita Paraguay telah dihambat keluar dari Perkampungan Sukan Olimpik Paris kerana didakwa berpakaian seksi dan tidak sesuai di dalam perkampungan.

Dia yang dikatakan berjalan-jalan dengan berpakaian seksi dan nipis, didapati telah menganggu suasana tenteram di dalam kem. Dia juga mengambil kesempatan untuk berswafoto dengan beberapa atlit terkenal seperti Rafael Nadal dari Sepanyol.

- Advertisement -

Atlit-atlit lain dilaporkan merasa terganggu dengan kehadiran Luana yang berpakaian sedemikian terutama bagi atlit yang inginkan rehat sepenuhnya sebelum menyertai acara seterusnya.

Dia tidak mengenakan pakaian rasmi atlit olimpik ketika tinggal di dalam perkampungan sukan sebagaimana yang telah ditetapkan. Dia yang telah kalah pada peringkat awal pertandingan, dilihat sebagai menghabiskan masa sebelum pulang ke negaranya.

Bayangkan Luana yang dimaklumi sentiasa berpakaian tidak cukup kain, berbikini ketika perlumbaan renang, juga dilarang berpakaian yang mencolok mata ketika di luar gelanggang kerana menganggu orang lain. Maknanya bukan pada semua tempat sesuatu pakaian itu boleh dipakai sesuka hati. Apa lagi pakaian yang menaikkan nafsu, tidak juga atas nama kebebasan.

Tetapi ada golongan di Malaysia yang tetap mahu mempertahankan wanita berpakaian yang sangat tidak sesuai walaupun mahu menyelesaikan urusan rasmi di pejabat kerajaan. Dengan alasan hak diri itu adalah hak mereka sepenuhnya dan dengan mudahnya menolak kod etika berpakaian, tanpa memikirkan hak orang lain.

Bayangkan, di kejohanan Olimpik yang sememangnya tersedia atlit yang tidak menutup aurat, terdedah sini sana, masih diperlukan kod berpakaian secara sopan bagi menghormati orang lain oleh jawatankuasa mereka. Tidak memberikan kebebasan yang sebebasnya kepada semua perkara dan semua orang.

Apatah lagi bila ada isu yang melibatkan program hiburan, mereka terus mendakwa Kerajaan PAS Terengganu bertindak mencampuri urusan mereka untuk berhibur. Sedangkan dengan jelas peraturan hiburan di Terengganu menyebutkan larangannya. Nun, jauh di seberang Semenanjung sana, ada salakan dari DAP yang mendakwa PAS menipu kerana mencampuri urusan bukan Islam.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah telah menjelaskan dengan begitu baik bahawa tiada sekatan untuk bukan Islam berhibur, tetapi semua yang terlibat, mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri kerana semua pihak mempunyai hak untuk dihormati.

Mentang-mentanglah sekarang sedang berlangsung kempan PRK Nenggiri di Kelantan dan Umno menjadi calon melawan PAS, DAP melalui seorang ketuanya yang menjadi tertuduh kes rasuah, sesuka hati sahaja mengeluarkan cerita rekaan bagi memenangkan Umno.

Apa, kau ingat suara kau orang Kelantan nak dengar ke? – HARAKAHDAILY 7/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -