Orang Asli bukan lagi ‘deposit tetap’ Umno

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengundi masyarakat Orang Asli yang menjadi ‘deposit tetap’ Umno sejak berpuluh tahun lalu dijangka berubah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos ini.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, golongan minoriti itu sekarang dianggap sudah berubah sikap berbanding sebelum ini.

Katanya sebelum ini diakui Orang Asli memberi sokongan kepada Umno, namun berdasarkan perkembangan sekarang perubahan dilihat sedang berlaku.

“Jadi, insya-Allah kita nak menang dengan bergaya, bukan sahaja nak kekal tetapi nak menang secara bergaya dengan semangat dipamerkan petugas pilihan raya PN,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Bagaimanapun kesal kerana Umno masih menggunakan strategi lama mengerah kekuatan jentera kerajaan Pusat dalam setiap siri kempen mereka.

Katanya, beliau dimaklumkan Dewan Orang Ramai yang dikelola Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) diekspoitasi oleh petugas Umno untuk dijadikan bilik gerakan kempen Barisan Nasional.

“Which wrong actually, tetapi insya-Allah kita yakin, lagipun saya sendiri masuk pos Orang Asli, Menteri Besar pergi juga.

“Kehadiran jentera pilihan raya PN ternyata mendapat sambutan luar jangkaan di penempatan Orang Asli di pedalaman Kelantan,” katanya. (Foto atas)

Di DUN Nenggiri terdapat lima Pusat Daerah Mengundi Orang Asli iaitu Pos Simpor, Sungai Puian, Sungan Jenera, Sungai Wias dan Tohoi. Terdapat lebih 2,500 pengundi Orang Asli. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -