Nyanyian di kuil: Presiden Gerakan kunjungi Exco Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai kunjungan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

- Advertisement -

Menurutnya, Dr Dominic mengunjungi beliau di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, petang semalam bagi mendengar sendiri penjelasan serta mendapatkan pencerahan mengenai isu yang tular baru-baru ini.

“Saya cukup hargai kehadiran Datuk Dr Dominic Lau ini bagi mendengar sendiri penjelasan serta mendapatkan pencerahan mengenai isu yang tular baru-baru ini mengenai persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dianjurkan oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Beliau menegaskan, seperti mana yang sering kali disebut, kerajaan negeri tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum yang ada di negeri ini untuk melaksanakan apa jua acara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.

Namun, katanya perlu difahami bahawa kerajaan negeri telah menetapkan garis panduan dan syarat bagi apa jua acara hiburan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2002.

Jelasnya, selagi ia tidak bercanggah dan mematuhi syarat yang dikenakan, maka tiada halangan untuk meneruskan program.

Bahkan, ujarnya beliau memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan menyokong program yang ingin dilaksanakan.

“Dalam pertemuan ini juga, saya juga saling berkongsi prosedur yang perlu dilakukan selepas ini jika ada acara sebegini ingin diadakan kelak.

“Saya turut menghargai kesediaan Presiden Gerakan bagi mengharmonikan keadaan dengan menyampaikan terus maklumat dari pihak kerajaan ini kepada pihak kuil, begitu juga masyarakat Cina agar tiada salah faham berlaku,” katanya.

Menurut Wan Sukairi, beliau melihat isu itu sengaja digembar-gemburkan bagi membina persepsi dan memperlihatkan tindakan kerajaan negeri yang menidakkan hak bangsa dan agama lain dalam negeri yang penuh harmoni ini.

“Secara jelas rakyat negeri Terengganu sentiasa hidup bersatu padu dan harmoni dengan cara kita tersendiri,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

- Advertisement -