
KUALA LUMPUR: Delegasi Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS dan Bersatu hadir mengadakan pertemuan dengan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi di Qatar.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pertemuan ini juga berkesempatan untuk bertemu dengan mantan Perdana Menteri Turkiye, Ahmet Davutoğlu.
“Banyak perkara berkenaan kepentingan ummah dibincangkan bersama Shaykh Ali al-Qaradaghi dan Ahmet Davutoğlu khususnya situasi politik, sosial, dan ekonomi semasa umat Islam rentetan daripada kesyahidan Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; dan Wakil Lajnah Parlimen PAS Pusat, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, yang merupakan wakil rasmi PAS bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyertai upacara pengebumian jenazah As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh di Doha pada Jumaat lalu.

Menurut Fayhsal, pihak PN telah nyatakan kebimbangan kami berhubung anasir normalisasi ke atas Israel dan anasir Pro-Zionis yang semakin tular di negara-negara Islam ketika ini.
“Sikap acuh tidak acuh pemerintah yang membenarkan saham dan pengurusan lapangan terbang untuk dijual kepada entiti yang Pro-Zionis,” ujarnya.
Ahli Parlimen Machang itu juga berkata, tindakan mestilah selari dengan prinsip agar darah para syuhada di bumi Al-Quds khususnya as-Syahid Ismail Haniyeh tidak disia-siakan pengorbanan mereka yang cukup mahal.
“Semoga para ulama dan umara mampu memberi teguran kepada rakan-rakan sejawat mereka agar jangan bermuka-muka,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2024




















