Orang Asli tertekan harga beras mahal

- Advertisement -

GUA MUSANG: Biarpun pelbagai formula dilaksana kerajaan Madani, namun harga beras masih mahal di pasaran sejak berlaku kenaikan mulai 4 September 2023.

- Advertisement -

Pada Februari lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Namun sehingga sekarang harga beras masih tinggi di pasaran, lebih parah lagi beras tempatan sukar ditemui.

Ini bermakna hampir setahun kerajaan Madani gagal menyelesaikan isu kenaikan harga beras biarpun pelbagai teori dicetuskan.

Kenaikan harga beras sehingga lebih 30 peratus lebih membebankan penduduk Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman.

Penduduk Orang Asli dari Pos Pulat, Zulkifli Mat Don, 38, berkata, sejak berlaku kenaikan harga beras pada September tahun lepas ramai penduduk tertekan kerana peningkatan harga begitu ketara.

Zulkifli Mat Don

Sedangkan katanya, sebelum September tahun lepas, mudah didapati beras tempatan dengan harga sekitar RM25 bagi 10 kilogram.

“Namun sekarang beras 5 kg pun di sini harganya hampir RM50. Teruk sangat berlaku kenaikan harga berbanding sebelum ini.

“Hendak cari beras tempatan sudah tidak ada sekarang. Jadi kami pun terpaksa beli beras import yang harga jauh lebih mahal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada awal September 2023 syarikat pemborong beras mengumumkan kenaikan harga jualan beras putih dan beras wangi yang berkuatkuasa 4 September 2023. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -