
GUA MUSANG: Impian sebahagian besar peneroka Kesedar untuk memiliki geran tanah sendiri masih tidak kesampaian biar pun sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, sehingga sekarang banyak lot tanah yang dilulus kerajaan negeri kepada Kesedar.
Katanya, biarpun tanah berkenaan telah diluluskan kepada Kesedar, namun Kesedar difahamkan belum memproses permohonan terbabit.
“Tanah tersebut sudah dilulus kepada Kesedar, namun sampai sekarang ramai peneroka tidak mendapat geran hak milik,” katanya pada ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kampung Bertam Baharu, di sini malam semalam.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, beliau mempunyai rekod daripada Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan berhubung perkara itu.
Menurutnya, di Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Kesedar Limau Kasturi sebanyak 602 permohonan diluluskan kerajaan negeri, manakala di Sungai Terah pula 1,374 permohonan.
Namun kata beliau tanah terbabit tidak diproses oleh Kesedar bagi membolehkan pengeluaran hak milik dilakukan. – HARAKAHDAILY 5/8/2024











