AKSB hantar lori tangki ke lokasi terjejas bekalan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menggerakkan aset-aset lori tangki sebanyak lima dan enam lori air kontrak untuk membantu pengguna terjejas ekoran Lori Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong terpaksa menghentikan sementara operasi.

- Advertisement -

Selain itu operator air dari negeri-negeri lain turut memberi komitmen bagi menghantar lori tangki ke kawasan terjejas dalam masa terdekat.

Operator tersebut iaitu Ranhill SAJ, Johor dua lori, Air Selangor (4), Syarikat Air Terengganu (2), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (1) dan Pengurusan Air Pahang (2) serta sebuah lori air milik PBSM.

Kata AKSB operasi dihentikan sementara berikutan kerja-kerja pembaikian paip air mentah yang bergaris pusat 1,100 mm pecah.

Ekoran masalah itu hampir 33,094 akaun pengguna di empat jajahan akan menghadapi gangguan bekalan air.

“Kesan henti tugas operasi LRA tersebut menyebabkan berlaku pengurangan dan kehilangan bekalan air terawat hampir 70 peratus di LRA Merbau Chondong atau sebanyak 47 juta Liter sehari (JLH).

“Kerja-kerja pembaikian dimulakan sejak kelmarin dan ia dijangka siap pada 9 Ogos ini,” kata kenyataan AKSB hari ini.

Jajahan yang terlibat iaitu Machang 17,076 akaun pengguna, Pasir Puteh (9,539 akaun), Kota Bharu Selatan (5,979 akaun) dan Kota Bharu Timur (500 akaun).

AKSB juga memberitahu tangki-tangki statik bersaiz 500 hingga 1500 gelen turut ditempatkan di kawasan-kawasan tumpuan bagi meringankan beban pengguna.

Kata AKSB juga pihaknya melalui PINTAS membuat pemakluman awal kepada pengguna melalui sistem Infoblast dan ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi tersebut dari semasa ke semasa menerusi sesawang www.airkelantan.com.my; aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777. – HARAKAHDAILY 5/8/2024

- Advertisement -