Syaitan sesatkan manusia dengan ilmu

- Advertisement -

SEKIRANYA kita menurut syaitan, dia tidak akan membawa kita ke Mydin atau AEON Mall, tetapi sudah tentu dia akan membawa kita masuk ke dalam neraka. Itulah kerjanya.

Pada awal-awal dahulu, dia telah meminta dengan Allah agar dia boleh menyesatkan anak Adam sehingga ke hari kiamat. Apabila kita menurutnya, sah kita telah sesat.

Sekiranya kita berhujah tanpa ilmu, petunjuk atau rujukan, maka kita menjadi anak murid kepada syaitan. Ada ulama tasawuf kata, sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah menjadi gurunya. Kebanyakan kita pada hari ini belajar dengan Profesor Google.

- Advertisement -

Ibarat anak kecil yang disuap makan dengan nasi, seharusnya nasi itu dilenyek ataupun pisang dilecek walaupun pisang itu sememangnya sudah lembut. Sebab dia masih tidak mempunyai gigi.

Kita yang belajar tetapi tidak mempunyai guru umpama anak kecil yang tiada gigi dan tidak boleh memamah. Makanan boleh dimasukkan kerana dia ada mulut, tetapi nak memamah macam mana kalau tiada gigi? Kalau memamah dengan gusi, akan berasa sakit. Kalau terus menelan, akhirnya sakit perut.

Guru umpama ibu bapa yang melecek makanan terlebih dahulu sebelum menyuap. Begitulah juga dengan penceramah yang harus melihat tempat mengajarnya. Adakah perlu disuap nasi yang dilecek atau tidak. Jangan berceramah sesuka hati.

Mentang-mentang dia pandai membuat burger, jadi selalu menyuap burger kepada orang yang mendengar, hakikatnya orang yang mendengar ini tiada gigi pun. Tempat di mana orang ada gigi, dia menyuap nasi lecek, itu yang menyebabkan orang termuntah.

Kadang-kadang, penceramah ini tidak tahu siapa yang berada di hadapannya. Jadi, dia main suap kerana itu sahaja modal yang ada padanya. Dia yang berniaga burger, jadi yang disuap adalah burger. Dia yang sentiasa membawa pisang lecek, jadi yang disuap adalah pisang lecek.

Tidak tahu bahawa orang itu sudah tua dan tiada gigi. Orang tua sudah tidak makan pisang lecek kecuali di atas katil. Adapun orang sakit tidak diberi pisang lecek, tetapi epal atau limau. Maka, penting hal-hal seperti ini yang perlu kita fahami.

Kita perlu beringat sebab syaitan sentiasa mencari jalan. Kadang-kadang, dia menyesatkan kita dalam ilmu. Sesetengah ulama kata, sesat dengan ilmu, sesat dalam terang. Terang menyebabkan dia sesat. Matahari yang terlalu cerah menyebabkan dia tidak nampak. Matanya berpinar.

Kebiasannya, orang yang berjumpa dengan matahari akan menemui jalan. Tetapi, disebabkan dia hanya tengok pada matahari, bukan jalan, akhirnya berpinar. Ilmu yang menyebabkan dia menjadi sesat. Semakin tinggi ilmu yang dipelajari, dia menjadi semakin sesat.

Nabi mengajar kita supaya berdoa agar diberikan ilmu yang bermanfaat. (Rujuk Riwayat Abu Daud: 1548).

Kita diminta untuk berlindung daripada empat perkara. Yang pertama, ilmu yang tidak boleh memberi faedah, bukannya semakin tinggi belajar, semakin tidak ‘reti’.

Kedua, hati yang tidak khusyuk. Dalam solat pun duk ingat Mydin lagi dan marah kalau Tok Imam membaca ayat panjang dalam solat.

Ketiga, nafsu yang tidak pernah kenyang, walaupun makan dua hingga tiga pinggan dan akhir sekali doa yang tidak diterima Allah. Ada banyak sebab, antaranya kerana hati tidak khusyuk, mohon sesuatu yang tidak munasabah dan memutuskan hubungan silaturrahim.

Kita juga diajar untuk berdoa:
اللَّهمَّ إنِّي أسأَلُكَ عِلمًا نافعًا
Maksudnya “Aku memohon kepadaMu (ajarkan aku) ilmu yang boleh memberi manfaat kepada aku.” Maknanya ilmu yang berfaedah. (Rujuk Riwayat Ibnu Majah: 762)   – HARAKAHDAILY 4/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -