Yusuf Dikec, penembak Turkiye yang tular di Olimpik Paris 2024

Gaya bersahaja Yusuf Dikec dalam acara tembakan pistol udara 10 meter pasukan campuran di Olimpik Paris 2024 kini menjadi tular.
- Advertisement -

PARIS: Penembak pistol Turkiye, Yusuf Dikec telah menjadi tular di media sosial kerana sikapnya yang kelihatan bersahaja ketika merembat pingat perak dalam acara menembak Sukan Olimpik 2024.

Imej yang paling banyak dikongsi menunjukkan Dikec dirakam dalam kemeja-T dengan sebelah tangan di dalam poketnya, sepasang cermin mata yang kelihatan standard dan wajahnya yang tenang.

Dia disamakan dengan lelaki kebanyakan yang anehnya layak bertanding di Sukan Olimpik, atau pun pembunuh upahan. 

- Advertisement -

Lelaki berusia 51 tahun itu bagaimanapun sebenarnya bukanlah pendatang baharu, memandangkan dia telah bertanding di setiap Sukan Olimpik Musim Panas sejak tahun 2008.

Beberapa meme membezakan Dikec dengan lawannya dari Serbia, Damir Mikec, yang memakai penutup mata (visor) pada sebelah mata, kanta pada sebelah mata yang lain dan sepasang pelindung telinga yang besar, lapor Al- Arabiya.

Dikec dan rakan sepasukannya, Sevval Ilayda Tarhan memenangi pingat perak dalam tembakan pistol udara 10 meter pasukan campuran pada Selasa – pingat pertama Turkiye dalam menembak Olimpik.

Sementara Mikec dan Zorana Arunovic memenangi pingat emas untuk Serbia; dan gangsa menjadi milik Manu Bhaker dan Sarabjot Singh dari India.

Yusuf dan Sevval Ilayda memenangi pingat perak pertama buat Turkiye dalam acara menembak di Sukan Olimpik. (FOTO: Toronto Star)

Tidak seperti Dikec, rakan sepasukannya Tarhan bersaing dengan pelindung telinga yang besar dan visor, serta tocang dalam warna merah dan putih melambangkan simbolik bendera Turkiye, tetapi seperti Dikec, dia juga menembak dengan satu tangan di dalam poketnya.

Dikec berada di tempat ke-13 dalam acara individunya dan kini selesai dalam pertarungan di Olimpik Paris 2024. 

Dia melihat ke hadapan untuk Olimpik seterusnya pada 2028 dengan berkata, “Saya berharap seterusnya Olimpik di Los Angeles (untuk) pingat emas.

Dikec bagaimanapun menerima secara terbuka dirinya menjadi tular, sambil menyiarkan semula kompilasi video meme berbahasa Turkiye mengenai dirinya di halaman Instagram miliknya.

Dikec dan Tarhan membuat perjalanan ke ibu negara Perancis pada Rabu, menyaksikan mereka disambut dengan sorakan di Champions Park, tempat terbuka di mana pemenang pingat meraikan kemenangan bersama-sama peminat.

Penembak mempunyai sedikit kebebasan tentang cara mereka berpakaian untuk pertandingan di Olimpik.

Ramai penembak di padang Olimpik acara menembak di Chateauroux, tengah Perancis, memilih untuk memakai visor untuk mengurangkan silau lampu atau apa yang dipanggil penutup mata pada sebelah mata untuk mendapatkan tumpuan yang lebih baik untuk mata yang melihat ke bawah pemandangan.

Tidak benar bahawa Dikec tidak memakai sebarang peralatan menembak. Dia memakai penyumbat telinga kuning untuk menghalang gangguan semasa dia melakukan rembatan pada perlawanan akhir. Ia hanya tidak kelihatan dari sudut imej yang menjadi tular.

Sama seperti Dikec, penembak senapang China, Liu Yukun memenangi pingat emas pada hari ini, Khamis dengan memakai penyumbat telinga tetapi tiada penutup mata atau visor.

Gaya penuh dramatik penembak Korea Selatan di Sukan Olimpik Paris 2024, Kim Yeji turut tular dan meraih perhatian ramai. (FOTO: BBC)

Adakah penembak lain turut menjadi tular di Sukan Olimpik 2024? Ya, sikap yakin dan gaya penampilan penuh dramatik penembak pistol Korea Selatan, Kim Yeji telah meraih pujian di media sosial kerana ‘tenaganya dalam watak utamanya’ dalam acara yang disertainya pada kali ini.

“Bintang sukan #menembak Olimpik yang kami tidak tahu kami sebenarnya perlukan,” akaun rasmi Olimpik di X menyiarkan kenyataan pada hari ini, Khamis dengan menyertakan gambar Kim dan Dikec.

Kim memenangi perak dalam acara 10 meter pistol udara wanita pada Ahad di belakang rakan sepasukannya, Oh Ye Jin; dan lebih menarik, Oh merupakan rakan sebilik Kim sepanjang berlangsung Olimpik Paris 2024.

“Dia (Oh Ye Jin) seperti adik bongsu saya,” ulas Kim yang menambah bahawa dia kini bersedia untuk bertanding semula pada esok, Jumaat dalam kelayakan untuk acara pistol 25 meter wanita. -Agensi/– HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -