Ismail Haniyeh bukti nyata keutuhan prinsip perjuangan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Darah anak-anak lelakiku tidaklah lebih berharga daripada darah rakyat kami.”

- Advertisement -

Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sebagai bukti nyata keutuhan prinsip perjuangannya, itulah kata-kata Ismail Haniyeh selepas tiga orang anak lelakinya gugur dalam serangan zionis pada 10 April lalu.

“Walaupun pernah memegang jawatan Perdana Menteri, beliau sendiri tidak asing daripada pengalaman menghadapi sepak terajang penjajahan yang dialami rakyat di bawah pimpinannya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebagai anak kelahiran kem pelarian al-Shati, liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri telah membentuk Ismail Haniyeh menjadi salah seorang pemimpin utama perjuangan Palestin sebaris dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantisi.

Katanya lagi, memilih menginfakkan hidupnya pada jalan perjuangan, Ismail Haniyeh akhirnya menyemai apa yang dituai dan diimpikan mengikuti jejak langkah sahabat-sahabatnya yang gugur di jalan perjuangan.

Wan Hassan Mohd Ramli

Beliau memetik ayat 169, Surah Ali Imran yang bermaksud: “Janganlah kamu mengira bahawa mereka yang gugur di jalan Allah itu mati bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”.

Ismail Haniyeh terkorban di Tehran, Iran semalam dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Pengawal Revolusi Iran menyatakan bahawa Ismail Haniyeh dibunuh bersama salah seorang pengawalnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024

- Advertisement -