Rusia kutuk serangan terhadap Haniyeh, Lubnan

Vladimir Putin (kanan) dan Allahyarham Ismail Haniyeh.
- Advertisement -

MOSCOW: Rusia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Iran dan serangan Israel ke atas Lubnan yang membunuh komander paling kanan Hizbullah dalam serangan udara di Beirut.

Timbalan jurucakap kementerian luar Rusia, Andrei Nastasin dalam kenyataan media pada hari ini, Rabu (31 Julai) berkata, beliau menyeru agar semua pihak untuk mengelak daripada langkah yang boleh menyebabkan Timur Tengah menjadi  medan perang besar-besaran.

- Advertisement -

Haniyeh, 62, telah dibunuh pada awal pagi hari ini di Iran melahirkan kebimbangan peningkatan yang lebih meluas di wilayah yang digegarkan oleh perang Israel di  Semenanjung Gaza dan konflik yang semakin teruk di sempadan Israel-Lubnan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik pergerakan Hamas Palestin, Ismail Haniyeh, akibat serangan roket ke atas kediamannya di Tehran,” kata Nastasin, lapor agensi berita Rusia, TASS.

“Adalah jelas bahawa dalang di sebalik  pembunuhan politik ini sedar akan akibat berbahaya tindakan ini untuk seluruh wilayah Arab,” tambahnya.

Rusia, katanya, telah memberi perhatian kepada fakta bahawa pembunuhan itu berlaku di Iran.

“Justeru, kami menggesa semua pihak yang terlibat untuk menahan diri dan meninggalkan sebarang langkah yang boleh membawa kepada kemerosotan dramatik keadaan keselamatan di rantau ini dan mencetuskan konfrontasi bersenjata berskala besar,” ujarnya. 

Sementara serangan Israel ke atas Lubnan yang membunuh komander paling kanan Hizbullah dalam serangan udara di Beirut adalah pada hari Selasa.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan yang dilakukan oleh Israel ke atas Lubna, yang merupakan pencabulan kedaulatan Lubnan dan norma asas undang-undang antarabangsa.

“Kami menyatakan kebimbangan mendalam kami tentang ancaman yang semakin meningkat terhadap peningkatan mendadak keadaan di Timur Tengah dengan latar belakang serangan sejak akhir-akhir ini,” kata Nastasin.

Terdahulu, Rusia telah berulang kali mengecam Barat kerana mengabaikan keperluan untuk sebuah negara Palestin merdeka dalam sempadan 1967. -Agensi/– HARAKAHDAILY 31/7/2024

- Advertisement -