Tajaan arak di institusi pendidikan ditolak rakyat Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu program tajaan minuman beralkohol kepada salah sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru-baru ini yang melibatkan institusi pendidikan secara jelas ditolak oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan. 

- Advertisement -

Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataannya berkata, kesedaran ini timbul apabila banyak kes yang melibatkan arak pasti berakhir dengan keburukan sama ada dari sudut kesihatan, kehidupan berkeluarga, kemalangan dan agama. 

Menurutnya, ia melibatkan semua rakyat Malaysia sama ada orang Islam atau bukan Islam, yang mana dalam Islam secara jelas Allah SWT melarang umat Islam terlibat dengan apa jua proses yang melibatkan arak.

“Firman Allah SWT (yang bermaksud) ‘Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ (Surah al-Maidah ayat 90)

“Justeru, amat tidak wajar jika sekiranya generasi baru didedahkan dengan promosi sedemikian yang akan memberi kesan buruk kepada mereka. 

“Masih banyak peluang sumbangan yang boleh disalurkan kepada institusi pendidikan bagi memastikan hanya didikan positif yang sampai kepada para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dengan berlakunya insiden pada kali ini umat Islam harus mengambil pengajaran serius bahawa betapa besarnya larangan Islam mengenai arak.

“Rasulullah SAW telah bersabda (yang bermaksud), ‘Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: ‘Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

“Marilah sama-sama kita bantah segala bentuk mempromosikan arak dalam kalangan rakyat malaysia kerana ia hanya meninggalkan kesan buruk kepada negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -