‘Sokong Wan Ahmad Fayhsal isu BlackRock’

Mythreyar selepas sidang media Tolak BlackRock dan Selamatkan Malaysia yang diadakan di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada hari ini, 30 Julai 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tujuan saya turun pada hari ini adalah untuk memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai isu BlackRock.”

Aktivis Palestin, Mythreyar Mutturamalinggam berkata, isu penjualan sebahagian Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock adalah isu yang sangat besar.

- Advertisement -


“Ini kerana isu sebegini melibatkan keselamatan tanah air kita dan kita tidak seharusnya membiarkan syarikat pro-Zionis tersebut untuk bertapak dalam aset strategik negara kita pula,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Tolak BlackRock dan Selamatkan Malaysia di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menurut beliau, tiada sebarang agenda politik yang ingin dilakukan dalam membuat penentangan terhadap pelaburan syarikat tersebut dalam MAHB ini.

Tambahnya, apa yang dilakukan oleh Wan Ahmad Fayhsal dalam menyuarakan isu MAHB ini adalah perkara yang wajar memandangkan ianya melibatkan urusan rakyat negara ini.

“Sebenarnya saya sokong mana-mana pihak yang menentang pelaburan GIP milik BlackRock dalam lapangan terbang negara kita ini.

“Ini kerana kita tidak mahu lapangan terbang negara kita sendiri dikuasai oleh syarikat pro-Zionis yang mana jika perjanjian sebegini diteruskan maka mereka boleh mengancam kedaulatan negara kita.

“Itu sebabnya saya membuat mogok lapar dalam beberapa hari yang lepas supaya nak kerajaan dengar dan halang syarikat BlackRock untuk melabur dalam MAHB ini.

“Lagipun, tiada gerenti yang mereka tidak akan membuat kezaliman yang sama terhadap negara kita seperti mana yang terjadi terhadap rakyat Palestin itu sendiri,” ujarnya.

Pada 5 Julai lalu, media melaporkan Mythreyar mengumumkan rancangannya untuk melancarkan mogok lapar di hadapan Parlimen bagi membantah penjualan saham MAHB kepada syarikat berkaitan BlackRock.

Menurut Mythreyar, sepanjang melakukan protes selama lima hari itu, ramai datang mengunjunginya sebagai tanda memberi sokongan dalam usaha perjuangannya termasuk dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang  sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Mythreyar menasihatkan orang ramai supaya meneruskan lagi penolakan pelaburan BlackRock terhadap MAHB ini.

Kata beliau lagi, ini kerana tidak seharusnya kedaulatan sesebuah negara dikorbankan demi mengejar kemajuan ekonomi semata-mata.

“Sekarang kita sendiri boleh melihat terlalu ramai rakyat yang sedang susah akibat daripada kenaikan pelbagai kos sara hidup.

“Saya tidak menafikan kemajuan ekonomi negara ini adalah untuk membantu rakyat juga tetapi janganlah sampai dengan mengambil pelaburan daripada syarikat yang bersifat pro-Zionis seperti BlackRock.

“Ini kerana syarikat BlackRock telah menyalurkan dana kepada negara haram Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

“Majoriti rakyat Malaysia adalah bersama-sama rakyat Palestin dalam apa jua keadaan. Lagipun, masih ada lagi syarikat-syarikat pelabur lain yang lebih baik dan tidak pro-Zionis yang kerajaan boleh ambil.

“Bagi saya itu lebih baik daripada memberikan hak sebahagian pengurusan lapangan terbang negara kita ini kepada bangsa yang terkutuk,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -