
KUALA LUMPUR: Sukan Olimpik Paris 2024 sepatutnya menjadi suatu medan penting untuk atlet di seluruh dunia bersaing secara sihat, memecahkan rekod dunia dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi tanpa melibatkan anasir-anasir yang boleh merosakkan moral manusia dan melunturkan semangat kesukanan dalam kalangan atlet seluruh dunia.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Hafez Sabri berkata, Paris merupakan sebuah ibu kota Perancis digelar sebagai Kota Cinta telah diberikan ruang untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik 2024 pada kali ini.
“Namun, terdapat kecaman daripada rakyatnya sendiri disebabkan malu dengan kondisi Sungai Seine yang tercemar sehingga mereka mengancam untuk membuang air besar beramai-ramai ke dalam sungai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia..
Menurutnya, bukan sahaja sungai tersebut yang tercemar, malah Olimpik Paris 2024 itu sendiri dicemari dengan anasir LGBTQ+ yang dibawa oleh komuniti itu dalam Olimpik Paris pada kali ini.
“Jumlah atlet daripada ‘pelangi’ ini mungkin mencatatkan jumlah yang lebih ramai berbanding Sukan Olimpik Tokyo 2021.
“Perkara ini tidak pelik kerana Perancis merupakan negara yang ‘mesra LGBTQ+’ dan negara yang ke-13 menghalalkan perkahwinan sejenis pada tahun 2013 sebelum United Kingdom, Australia, Switzerland dan Amerika Syarikat,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun pengiktirafan golongan LGBTQ+ dibuat untuk menonjolkan bahawa Perancis mendokong hak asasi manusia, namun masih lagi berlaku diskriminasi terhadap atlet Muslim di negara tersebut.
“Contohnya, Diaba Konaté merupakan atlet Muslim bola keranjang perempuan tidak boleh bermain dalam Sukan Olimpik Paris 2024 hanya kerana beliau memakai hijab,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan, adakah mengiktiraf golongan LGBTQ+ yang dilaknat oleh Allah SWT ini dilihat lebih memelihara hak asasi manusia berbanding dengan membenarkan atlet-atlet Muslim memakai hijab mereka?
“Hanya kerana ingin dilihat sebagai negara terpaling sekular, diskriminasi terhadap pemakaian hijab ini ‘dihalalkan’.
“Lebih parah, terdapat juga dakwaan bahawa berlakunya penghinaan agama Kristian dalam Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dengan membuat momokan terhadap Jesus,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/7/2024




















