
PRESIDEN Umno beri jaminan jika calonnya menang dalam PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini, kawasan berkenaan akan berubah wajah dalam tempoh setahun.
Katanya lagi, “Kenapa saya berani berjanji…..ini kerana Kerajaan (Pusat) adalah milik kita dan kita tidak mahu wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan Kerajaan dan perkara ini sangat penting.”
Politik ugut dan bongkak seumpama inilah yang menerima padah dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu. Rakyat tidak sanggup lagi undi mereka dijadikan bahan dagang, bahan untuk diancam dan diugut-ugut dalam sesuatu pilihanraya.
Pilihanraya adalah medan demokrasi untuk parti-parti politik memperkenalkan calon dan manifesto masing-masing. Serahkan pada rakyat untuk dengar dan kemudiannya buat pilihan secara bebas.
Rakyat Malaysia termasuk di Nenggiri sudah cukup dewasa dan matang menghadapi amalan demokrasi bahkan negara telah 15 kali mengadakan pilihanraya. Kenapa masih ada yang mengamalkan mentaliti 50an dan 60an dulu, mengugut dan mengancam rakyat?
Zahid barangkali lupa, yang parlimen Gua Musang (dulunya Ulu Kelantan) dimana letaknya DUN Nenggiri ini sejak 1959 berada bawah tangan Umno (bertukar sekejap 1990 dan 1995 apabila Ku Li tukar parti ke Semangat 46) sehinggalah Ku Li kecundang dalam PRU ke 15 lalu. Gua Musang dan DUN2 di bawahnya sejak Merdeka berada ditangan Umno, nak tukar wajah apa lagi?
Nenggiri sendiri sejak diwujudkan PRU 11 tahun 2004 dimenangi BN-Umno sehinggalah kalah ke tangan PN pada PRN 15 baru-baru ini, kenapa tidak tukar wajah 20 tahun berkuasa?
Kalau tidak bertukar sebelum ini bukan rakyat yang bersalah, yang salah Umno bukan orang lain!
Pimpinan politik yang bongkak dan memisah-misahkan rakyat kerana perbezaan politik seumpama Zahid ini sepatutnya sudah lama direhatkan. Jika pun rakyat Nenggiri memilih untuk berbeza dengan Kerajaan Pusat, itu hak mereka.
Keputusan mereka perlu dihormati dan jangan sesekali mereka didiskriminasi kerana itu.
Nenggiri ini majoriti Melayu, janganlah sampai sanggup ugut bangsa sendiri.
Pertahan Nenggiri undi Bulan.
Kelantan tolak PHBN. – HARAKAHDAILY 30/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















