Dana arak: GERAKAN yang tak faham, bukannya PAS

- Advertisement -

GEORGE TOWN: PAS tidak pernah mencampuri urusan sumbangan dana oleh syarikat arak, tetapi apabila ia diberikan kepada sekolah, ia jelas telah melanggar pekeliling yang pernah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew menegur sikap pemimpin GERAKAN yang berada bersama Perikatan Nasional (PN) tetapi berpendirian mempertahankan dana syarikat minuman keras kepada institusi pendidikan.

- Advertisement -

Tegas beliau, pekeliling KPM itu bukan baharu, tetapi larangan kepada pihak sekolah menerima sumbangan dan mempromosikan aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras telah disampaikan sejak 29 Mac 2018 lagi.

“Apa yang PAS persoalkan adalah tindakan seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam hadir dan bergambar dengan logo arak di sebuah sekolah. PAS hanya menegur bukannya jatuh hukum.

“Janganlah cuba menyerang PAS untuk mengalihkan perhatian bagi menutup kesalahan yang dilakukan. Kami Ahli PAS sentiasa mengingatkan diri untuk Amar Mahruf Nahi Mungkar,” kata Steven.

Presiden GERAKAN, Senator Datuk Dr Dominic Hoe Chai dalam reaksinya kepada isu itu dilihat senada dengan DAP apabila menyatakan PAS tidak faham bahawa syarikat arak sejak puluhan tahun telah menaja Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Malah, beliau kononnya mahu memahamkan PAS, manakala Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong pula menyatakan keteguhan parti itu menyokong Sekolah Cina mengumpul dana tersebut dan mengugut bahawa partinya tidak teragak-agak keluar dari PN.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Permatang Pauh, Jamsari Samad dalam pada itu mengingatkan GERAKAN supaya memahami larangan sepertimana termaktub dalam pekeliling tersebut yang ianya mesti dipatuhi termasuk oleh SJKC dan SJK Tamil.

Bidasnya, GERAKAN tidak wajar menyatakan pemberian sumbangan oleh syarikat arak tersebut sebagai amalan biasa bagi menampung perbelanjaan pihak sekolah, tidak kira walaupun ianya melibatkan sekolah bukan aliran Melayu.

“Apakah tidak boleh mengunakan sumbangan syarikat selain arak dan perjudian untuk kutipan dana sekolah? Apakah arahan yang semudah itu pun GERAKAN gagal untuk memahami?

“Atau adakah GERAKAN ingin menjadi seperti DAP semasa dalam Pakatan Rakyat yang bersikap sombong dan angkuh yang menyebabkan PAS memutuskan hubungan?

“Saya menyeru sahabat saya dalam GERAKAN supaya lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan daripada menunjukan untuk menjadi hero dan suara DAP dalam isu sumbangan ini,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024

- Advertisement -