
MENGIKUT rekod prestasi Umno-BN untuk 3 PRU terakhir kebelakangan ini adalah yang terburuk dalam sejarah parti Melayu itu.
PRU 2013 BN masih menguasai Kerajaan Persekutuan apabila menang 133 kerusi, Umno menguasai 78 kerusi ketika itu, tetapi prestasinya mula menurun berbanding PRU sebelumnya dimana BN menang 140 kerusi (PRU 2008).
PRU 2018 BN hilang kuasa di peringkat Persekutuan apabila cuma mampu memang 79 kerusi sahaja, Umno cuma bertahan 54 kerusi berbanding 78. (Umno juga hilang kuasa di Terengganu).
PRU 2022 penguasaan BN terus mengecil apabila cuma menang 30 kerusi sahaja dengan Umno cuma menang 26 kerusi. Ini prestasi Umno yang terburuk dalam sejarah. (PRU ini Umno hilang kuasa di Perlis dan hampir kecundang di Perak dan Pahang jika tidak kerana diselamatkan PH).
Bermakna kedudukan kerusi Parlimen Umno untuk 3 PRU berturut-turut dari 2013 adalah:
78 kerusi (2013)
54 kerusi (2018)
26 kerusi (2022)
Kerana merosot teruk dalam PRU 2022, Presiden Umno telah terdorong membuat ijtihad politik untuk berkerjasama dengan PH yang didominasi DAP demi survival beliau dan partinya. Kesan dari ijtihad yang menolak kerjasama dengan parti-parti Melayu lain dalam Perikatan Nasional, prestasi Umno bukannya mula menaik sebaliknya terus menjunam sebagaimana dialami dalam Pilihan Raya 6 Negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Ogos 2023.
Tiba-tiba hari ini kita mendapat maklum ahli MKT Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam satu majlis memperkenalkan 5 formula “ABCDE” yang katanya mampu menebus kembali kerusi-kerusi Umno yang kalah dalam PRU lalu. Formulanya: A – aktiviti B- berpadu C- calon D-data dan E- emosi.
Umno hari ini memang terdesak untuk membuktikan yang ia masih relevan dan mampu bangkit kembali, berdiri bersendiri sebagaimana dahulu. Tetapi realitinya untuk bangkit ia tidak boleh dilakukan dengan formula tangkap muat seolah kekalahan semalam itu perkara kecil sahaja.
Saya masih ingat ketika Umno kalah dalam PRU 15 lalu, ketika itu Raja Formula ABCDE inilah merupakan Setiausaha Agung Umno. Umno di bawah Presidennya enggan berkerjasama dengan PAS dan berani pergi sendiri atas andaian kononnya boleh menang bersendirian.
Raja Formula ABCDE inilah ketika itu mengunjurkan yang BN boleh menang sehingga 112 kerusi, iaitu cukup untuk membentuk Kerajaan sendiri. Kita semua tahu apa yang jadi, mungkin beliau lupa, BN cuma menang 30 kerusi iaitu Umno cuma 26.
Saya ingin petik apa kata bekas PM Dato Sri Ismail Sabri Yaakob ketika itu:
“Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas setiausaha agung Umno, Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan BN kalah dalam PRU15. Unjuran Umno pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo. Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat. Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.” (Malaysiakini 0/6/2023)
Sesungguhnya kekuatan politik parti-parti Melayu terletak atas sokongan pengundi Melayu Islam, iaitu segmen pengundi terbesar dalam negara. Hakikatnya sokongan ini sejak Merdeka bertenggek pada Umno kerana umat Melayu yakin hanya Umno yang mampu membela dan mempertahankan nasib mereka. Kerana itu Umno menjadi “complacent” atau leka sehingga menganggap umat Melayu akan selamanya bersama mereka atas alasan mereka yang membawa kemerdekaan negara dahulu.
Tetapi dari masa ke semasa Umno semakin lalai, dan kemajuan ilmu dan teknologi telah meletakkan umat Melayu semakin berilmu dan matang berpolitik. Mereka mula menuntut kualiti tertentu dalam kepimpinan bangsa. Mereka mula sedar yang umat Melayu layak dipimpin oleh kepimpinan yang cekap, berintegriti, bertaqwa dan jujur memperjuangkan nasib bangsa serta agama. Mereka mula berani menolak pemimpin yang mungkar, pincang dan tempang akhlak serta keperibadiannya.
Akhirnya apabila Umno dilihat gagal memenuhi kriteria yang dituntut, umat Melayu bangkit dan berani merobah selera politik mereka. Dari perkampungan tradisional ,membawa ke tanah rancangan FELDA, kampung-kampung nelayan, kawasan setinggan, rumah pangsa dan taman-taman perumahan umat Melayu di bandar dan luar bandar telah bangkit menuntut perubahan.
Hari ini mereka cenderung pada politik penyatuan ummah, politik yang mengangkat maruah dan martabat agama dan bangsa. Umat Melayu Islam mahu bersatu bawah kepimpinan yang benar-benar berupaya memperjuangkan nasib mereka. Lantaran itu mana-mana pihak yang melayan kecenderungan ini mendapat undi umat Melayu, yang enggan telah ditolak.
Rakyat ingat jasa Umno bukannya mereka lupa tetapi dalam suasana semasa mereka insaf politik penyatuan ummah itu lebih penting, justeru lantaran Umno enggan meraikannya, Umno lebih berselera dengan PH yang didominasi DAP, umat Melayu meninggalkan Umno dan bersama PAS dan Perikatan Nasional.
Buatlah formula apa sekalipun, selagi Umno kekal bawah teduhan payung PH dan menolak kerjasama ditawarkan PAS dan PN, Umno akan terus hanyut dibawa arus.
Kembalilah ke perjuangan asal agama dan bangsa insyallah kita semua selamat, tak Melayu merempat di bumi sendiri. Fikirkanlah sahabat, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















