Nenggiri: PN tampil anak muda dikenali ramai

Azman Ahmad
- Advertisement -

GUA MUSANG: Calon yang akan ditampil Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan anak muda yang dikenali ramai di Gua Musang.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, calon tersebut merupakan yang terbaik dalam kalangan anak muda.

“Calon yang kita ketengah kali ini ialah calon boleh bekerja bersama rakyat dan banyak pengalaman terutamanya sebagai anggota tentera selama 13 tahun,” katanya ketika ditemui di Renok hari ini. 

Calon PN akan diumumkan di Masjid Hijau Renok petang nanti. Pada malam Sabtu lepas lokasi sama diadakan ceramah pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PN.

Pengumuman itu bakal menjawab spekulasi calon mewakili PN pada PRK tersebut. Sebelum ini beberapa nama disebut media termasuk bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang Sheikh Razali Hamad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon 3 Ogos dan pengundian 17 Ogos.

Azman berkata, calon muda ditengahkan memandangkan Umno juga menampilkan orang muda.

“Individu yang akan diumum petang ini merupakan calon anak muda yang terbaik dan saya yakin mampu meningkatkan sokongan sekaligus mengekalkan kemenangan PN di DUN Nenggiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -