
KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail berkata, walaupun harga diesel hanya ‘diapung’, sebenarnya ia telah meningkat sebanyak RM1.20 kepada RM3.35.
“Orang kata, bukan barang naik, tetapi duit tak ada. Jadi, kesannya tetap sama.
“Sejak sekian tahun, harga barang tidak pernah turun. Yang turun hanya satu, tiga sen tetapi itu pun tidak ada bekalan,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Senator Hussin turut membangkitkan tarif elektrik dan air juga turut mengalami kenaikan harga.
Beliau juga meminta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyenaraikan barangan yang disebut dan menegaskan bahawa kebanyakan barang dalam senarai tersebut tidak menunjukkan penurunan harga.
Beliau turut mengusulkan agar kenderaan pertanian seperti traktor dan power tiller dimasukkan dalam senarai yang akan mendapat kad diskaun untuk mengurangkan kos input pertanian.
“Mereka menggunakan diesel dan terpaksa menanggung kos yang sangat besar,” tambahnya.
Hussin juga menekankan bahawa masyarakat masih dibelenggu oleh kos sara hidup yang tinggi walaupun inisiatif seperti Ops Kesan 2.0 telah diperkenalkan.
“Saya lihat harga barang mungkin tidak naik tetapi saiznya semakin mengecil.
“Banyak perkara yang sedang dihadapi oleh masyarakat sekarang antaranya adalah kos sara hidup yang masih belum terbela,” ujar beliau.
Pada soalan asal, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah-langkah kementerian bagi menangani inflasi dan kesan berganda kenaikan harga barang keperluan dan bahan binaan akibat kenaikan harga diesel tertinggi dalam sejarah sebanyak RM1.20. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











