
NAMA jolokan Harimau Malaya telah digunakan oleh pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia sebagaimana yang diketahui umum adalah merujuk kepada haiwan kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya.
Sempena hari Harimau Sedunia atau Global Tiger Day disambut pada hari ini, 29 Julai setiap tahun, kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan spesies Harimau Malaya yang semakin terancam perlu ditingkatkan.
Hakikatnya, Harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan dan kekuatan Malaysia, kini berdepan dengan ancaman kepupusan dan kurang daripada 150 ekor yang masih wujud di hutan-hutan Malaysia.
Dengan jumlah tersebut, harimau Malaya dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekiranya tindakan luar biasa tidak diambil.
Nama saintifik bagi Harimau Malaya ini adalah ‘Panthera tigris jaksoni‘ yang mengambil sempena nama Peter Jackson, seorang ahli konservasif harimau.
Di Malaysia, Harimau Malaya ini juga dikenali dengan nama ‘Pak Belang’. Sub-spesis Harimau Malaya mula ditemui pada tahun 2004, yang kemudiannya dijadikan sebagai haiwan kebangsaan Malaysia.
Terdapat sembilan sub-spesies harimau yang wujud dalam dunia, yang mana tiga sub-spesies telah diisytiharkan pupus iaitu:
- Harimau Bali (Panthera tigris balica), di Bali, Indonesia
- Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica), di Jawa, Indonesia
- Harimau Kaspian (Panthera tigris virgata), di Caspian Sea, Turki, Iran dan Asia Tengah
Sementara 5 lagi sub-spesies Harimau yang masih dipelihara dan dipulihara selain daripada Harimau Malaya di Malaysia ialah:
- Harimau Siberia (Panthera tigris altaica), di Amur-Heilong (Rusia-China)
- Harimau China Selatan (Panthera tigris amoyensis), di Southeast China-Hainan
- Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti), di Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Cambodia, Southwestern China
- Harimau Bengal (Panthera tigris tigris), di Bangladesh, Nepal, Bhutan, China dan Myanmar
- Harimau Sumatera (Panthera tigris sumatrae), di Sumatera, Indonesia
Sehubungan dengan sambutan Hari Harimau Sedunia ini, keunikan yang menjadi kebanggan Malaysia juga jangan disiakan.
Terdapat tujuh keunikan Harimau Malaya yang boleh kita ketahui bersama:
Belang Sang Rimau
Identifikasi atau cara mengetahui identiti setiap Harimau Malaya itu bermula dengan belangnya yang berbeza . Ia sama seperti manusia yang kita dapat mengesan identiti seseorang melalui cap jari.
Berat tetapi laju
Berat Harimau Malaya boleh mencapai 80 hingga 129 kilogram dan mempunyai kelajuan larian yang boleh mencecah sehingga 96 kilometer/jam.
Sub-spesies harimau paling kecil
Bagi seekor Harimau Malaya jantan dewasa, ia boleh mececah beratnya 100 hingga 120kg. Panjangnya pula, boleh mencecah sehinga melebihi 8 kaki dan tingginya pula mencecah 114cm.
Usia kehidupan Harimau Malaya
Jangka usia atau hayat bagi seekor Harimau Malaya adalah antara 21 hingga 26 tahun. Usia ini bersamaan dengan usia antara 80 hingga 180 tahun bagi manusia biasa.
Harimau Malaya suka tidur siang
Uniknya haiwan belang ini, dia akan menghabiskan 18-20 jam sehari untuk tidur terutamanya pada waktu siang dan akan berjaga pada malam hari. Selain itu juga, harimau akan lebih selesa dan tidur lebih nyenyak jika dia tidur di atas batu-batuan atau di atas rumput liar.
Spesies tidak takut air
Keberanian Harimau Malaya bertambah menyerlah apabila hariamau belang ini adalah spesies yang sukakan air kerana ‘Pak Belang’ ini mampu berenang antara 7km bersamaan 4.3 batu hingga 29 km (18 batu) sehari untuk mengatasi kawasan jajahannya.
Habitat Harimau Malaya
Tempat tinggal atau habitat Harimau Malaya hanya wujud di tanah Sememnanjung Malaysia, tetapi ia tidak dijumpai di Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 29/7/2024




















