Ibrah daripada peristiwa pada bulan Muharam

- Advertisement -

KUCHING: “Banyak ibrah atau pengajaran yang kita boleh pelajari daripada tiga peristiwa sirah yang berlaku pada awal Muharam dalam kalendar Islam,” kata Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sarawak, Rashidi Harun.

- Advertisement -

Katanya, peristiwa Allah SWT menerima taubat Nabi Adam, kisah Nabi Musa yang diselamatkan daripada dikejar oleh Firaun dan peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun.

“Kesemua kisah hebat ini perlu kita ingati untuk menjadikan kita semua seorang hamba yang sentiasa mengingati tentang kekuasaan Allah SWT.

“Kita perlulah sentiasa menjadi hamba yang bersyukur dan selalu memohon taubat kepada Allah SWT,” katanya pada program gotong royong mengacau bubur asyura di Kampung Siol Kandis, di sini, semalam. (Foto atas)

Program anjuran Lajnah Kebajikan PAS negeri itu diadakan sempena kehadiran Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee ke Kuching.

Jofri turut menyampaikan 20 set bakul makanan kepada penerima yang layak pada majlis itu.

Menurut pengarah program, Ustaz Firdaus Abu, ia dilaksanakan bagi mengisi aktiviti bulanan ahli PAS kawasan selain daripada program usrah dan liqa fikri.

“Aktiviti gotong royong ini dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah di dalam diri dan masyarakat dengan menghayati sejarah Hari Asyura, selain meningkatkan ukhuwah antara ahli PAS dan komuniti yang hadir,” ujarnya.

Aktiviti kali ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Petra Jaya yang turut membantu mengedarkan bubur asyura kepada penduduk setempat.

Edaran bubur asyura dilakukan dengan kerjasama Pemuda PAS Petra Jaya kepada lebih 80 ahli PAS cawangan dan masyarakat setempat yang hadir dengan harapan ia menjadi sebahagian usaha kebajikan dan mengeratkan hubungan bersama masyarakat sekeliling. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -