
KUALA LUMPUR: Isu penipuan dalam talian semakin meningkat walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengekang daripada terus membarah kepada masyarakat.
Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, terdapat banyak mangsa penipuan dalam talian telah membuat laporan bahawa wang simpanan mereka dicuri dengan jumlah yang begitu besar.
Katanya, sasaran penipuan tidak mengira usia, latar belakang, pekerjaan mahupun tahap pendapatan seseorang.
“Sehinggakan mereka kini perlu membuat kerja lain dan kebanyakan mereka adalah pesara.
“Apakah jaminan kementerian untuk mengembalikan duit kepada mangsa dan apakah tindakan kaunseling yang lebih sesuai kepada mangsa?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui bahawa talian hotline 997 yang disediakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) masih ada kekurangan kerana waktu operasi hanya jam 8 pagi hingga 8 malam.
Terdahulu, media tempatan melaporkan sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 billion dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu. – HARAKAHDAILY 29/7/2024











