Pilihan raya presiden Sri Lanka 21 September ini

Ranil Wickremesinghe. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

COLOMBO: Sri Lanka akan mengadakan pilihan raya presiden pada 21 September ini yang bakal menjadi ujian sokongan terhadap usaha Presiden, Ranil Wickremesinghe untuk menyelesaikan krisis ekonomi terburuk negara itu.

Tarikh berkenaan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas pada hari ini, Jumaat, sambil memaklumkan bahawa tarikh pencalonan akan ditetapkan pada 15 Ogos.

Pilihan raya itu akan menjadi pilihan raya pertama di negara kepulauan Asia Selatan itu selepas ia diisytiharkan muflis pada 2022 dan menggantung pembayaran balik kira-kira AS$83 bilion (RM386 bilion) dalam pinjaman domestik dan asing.

- Advertisement -

Ia disusuli dengan krisis pertukaran asing yang teruk yang membawa kepada kekurangan bahan keperluan seperti makanan, ubat, bahan api dan gas memasak, serta gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan.

Pilihan raya itu sebahagian besarnya turut dilihat sebagai undian penting bagi usaha negara itu untuk memuktamadkan program penstrukturan semula hutang yang kritikal serta melengkapkan pembaharuan kewangan yang dipersetujui di bawah program Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pergolakan ekonomi sebelum ini telah membawa kepada krisis politik yang memaksa Presiden, Gotabaya Rajapaksa ketika itu meletak jawatan pada 2022, sebelum Parlimen kemudiannya memilih Wickremesinghe sebagai presiden.

Di bawah pentadbiran Wickremesinghe, Sri Lanka telah berunding dengan pemiutang antarabangsa untuk menyusun semula hutang dan meletakkan ekonomi kembali ke landasan. IMF juga telah meluluskan program ‘bailout’ selama empat tahun bermula Mac lalu untuk membantu Sri Lanka.

Wickremesinghe dijangka berdepan dengan pesaing utamanya ialah ketua pembangkang, Sajith Premadasa dan Anura Dissanayake, yang merupakan ketua parti politik berhaluan kiri yang telah mendapat populariti selepas kemelut ekonomi melanda negara itu. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -