Jual Old Trafford: Manchester United janji runding dengan peminat

- Advertisement -

MANCHESTER: Manchester United berjanji untuk berunding dengan peminat mereka sebelum menjual hak penamaan kepada stadium mereka, tetapi kelab kegenda itu telah mengakui menamakan semula Old Trafford adalah pilihan yang sedang dipertimbangkan.

United pada ketika ini sedang menilai rancangan mereka sama ada untuk membangunkan semula Old Trafford atau membina stadium baharu di tapak yang sama yang menelan kos sebanyak £2 bilion (RM12 bilion).

- Advertisement -

Ketua Pegawai Operasi kelab itu, Collette Roache telah memberitahu peminat bahawa ‘semua pilihan pembiayaan yang mungkin’ akan dilihat dan dinilai oleh pihaknya bagi menentukan pilihan yang terbaik. 

“Anda mungkin pernah melihat spekulasi media mengenai hak penamaan dan itu sahaja, spekulasi. 

“Kita mesti melihat semua pilihan pembiayaan yang mungkin, tetapi ia masih peringkat awal tanpa sebarang keputusan dibuat. 

“Apa yang kami boleh janjikan ialah peminat, melalui forum ini dan saluran lain, akan sentiasa dimaklumkan dan dirujuk setiap langkah,” katanya, lapor BBC News.

Sejak kedatangan Sir Jim Ratcliffe sebagai pemilik bersama, kerja-kerja telah dimulakan untuk rombakan tempat latihan pemain kelab itu di Carrington yang mencecah £50 juta (RM299 juta).

Penambahbaikan juga sedang dilakukan di Old Trafford, termasuk menaik taraf terowong pemain. 

“Terowong pemain tidak mengalami sebarang perubahan besar sejak dibuka pada 1993 berikutan pembangunan semula Stretford End.

“Tetapi apabila pemain keluar menentang Fulham bulan depan, mereka akan menemui bahagian dalam terowong yang lebih baik dan lebih moden,” katanya. -Agensi/ HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -