Pendidikan membina akal, arak pula merosakkannya

- Advertisement -

BARU-baru timbul satu isu pertikaian apabila YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai kehadirannya ke program tajaan minuman keras kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina baru-baru ini. 

- Advertisement -

Pertikaian ini timbul apabila penajaan tersebut melanggar Surat Pekeliling Ikhtisas Bahagian 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya; yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. 

Bahkan, tindakan tersebut turut menyalahi Falsafah Pendidikan Negara, iaitu;

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Antara sebab kenapa arak diharamkan oleh Allah ialah arak menjadi punca manusia hilang akal dan hilang pertimbangan. Otak manusia yang diciptakan Allah telah sempurna penciptaannya, Allah sangat mengharamkan akal itu dirosakkan. 

Perbuatan meminum arak sebenarnya didorong oleh syaitan dan akhirnya peminum arak akan menjadi rosak akalnya dan akan menatijahkan pelakunya akan membuat perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT. 

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 91:

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ (٩١)

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” [Surah Al-Māʾidah: 91]

Allah SWT memberi perumpamaan seorang peminum arak akan meninggalkan sembahyang. Sedangkan sembahyang merupakan ibadah yang menjadi punca seseorang itu menjadi baik. 

Sebaliknya, arak merupakan sesuatu yang menjadi punca seseorang itu menjadi jahat. 

Allah SWT berfirman dalam Surah 

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ (٤٥)

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah Al-ʿAnkabūt: 45]

Kita perlu sedar bahawa tamadun masyarakat perlu dibina dengan keilmuan dan pemfungsian akal. Manakala normalisasi arak jelas membawa kepada kerosakan akal.

Nabi SAW bersabda

 اجتنِبوا الخمرَ ؛ فإنَّها مِفتاحُ كلِّ شرّ

“Jauhilah arak, sesungguhnya ia adalah pembuka bagi segala kejahatan.” (HR al Hakim)

Ia jelas bertentangan dengan dasar ‘Madani’ yang sebenar, yang boleh difahami dengan membina tamadun dengan ilmu. Bukan dengan unsur-unsur yang merosakkan akal.

Perkara ini dikuatkan dengan konsep pengukuhan negara dengan ilmu oleh al Farabi dalam kitabnya المدينة الفاضلة. Beliau menyifatkan bahawa negara yang baik, mestilah berlawanan dengan kejahilan.

Sebagai seorang pimpinan kerajaan Madani, beliau sepatutnya sedar tentang hakikat sebenar istilah tersebut. 

Menurut catatan Wan Mohd Saghir Abdullah bahawa Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani mengingatkan para pemerintah dan menggesa supaya menitik berat kepentingan pendidikan. Bahkan, ada ketikanya beliau mengkritik secara terbuka amalan pemerintah yang didapati tidak selaras dengan kehendak Islam.

Kerosakan mental akibat arak tidak dapat dinafikan. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak (neuropsychiatry) merupakan kesan jangka panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan di kalangan orang dewasa. 

Menurut Dr Johari Yap, Dalam Jurnal Lancet (Volume 392, Isu 10152, muka surat 987–988, 2018), artikel ‘No Level of Alcohol Consumption Improves Health’ membincangkan hasil kajian melibatkan 195 negara dari tahun 1990 sehingga 2016. 

Dapatan daripada kajian yang dijalankan, menunjukkan alkohol adalah penyumbang besar kepada masalah kesihatan sejagat, tidak kira besar atau kecil kadar pengambilannya. Daripada 100,000 peserta kajian yang tidak mengambil alkohol, seramai 914 orang mempunyai masalah kesihatan seperti kanser dan ada yang mengalami kecederaan. Jumlah itu bertambah lima kali ganda bagi mereka yang minum satu gelas minuman beralkohol sehari. 

Garis panduan Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom pada tahun 2016 menyatakan tidak terdapat kadar selamat untuk pengambilan alkohol (no safe level of alcohol consumption).

Justeru, tindakan menormalisasikan arak melalui penajaan institusi pendidikan tak sewajarnya diangkat. Bahkan, para ahli politik juga perlu menjauhi sebarang bentuk yang mendorong kepada kempen ke arah kemungkaran yang merosakkan masyarakat.

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -