Taufan Gaemi ragut 33 nyawa di Filipina

Taufan Gaemi yang melanda Filipina turut menyebabkan banjir besar. (FOTO: en.Aletihad.ae)
- Advertisement -

MANILA: Angka kematian akibat banjir teruk dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh monsun barat daya yang ditambah dengan Taufan Gaemi meningkat kepada sekurang-kurangnya 33 orang.

Pihak polis Filipina pada hari ini, Jumaa berkata 11 orang maut di wilayah ibu kota Filipina, Manila, 12 di wilayah Calabarzon, dan 10 dari Luzon Tengah, termasuk kru kapal tangki minyak yang karam di wilayah Bataan pada Khamis.

Punca kematian terutamanya adalah lemas, tanah runtuh, pokok tumbang, dan renjatan elektrik.

- Advertisement -

Agensi bencana kebangsaan Filipina masih belum melaporkan kematian akibat kesan berkembar monsun barat daya dan Gaemi, lapor Xinhua.

Gaemi, taufan ketiga melanda Filipina tahun ini, berlalu dari negara itu pada pagi Khamis, meninggalkan jejak kemusnahan ketika ia melanda bandar dan kampung di seluruh negara.

Taufan itu memaksa ratusan ribu penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka yang terdedah kepada banjir dan tanah runtuh, menumbangkan pokok dan tiang elektrik, serta merobek bumbung timah.

Filipina adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada bencana di seluruh dunia, terutamanya kerana lokasinya di Lingkaran Api Pasifik dan Tali Pinggang Taufan Pasifik. 

Secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun, ada yang kuat dan merosakkan.

Tanah runtuh dan banjir kilat adalah perkara biasa di seluruh Filipina semasa musim hujan, terutamanya apabila taufan melanda. 

Pada 2013, Filipina dilanda taufan Haiyan, yang membunuh lebih 7,000 penduduk. -Agensi/– HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -