Staf E-Idaman dirai pada Hari Pekerja Pembersihan

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, ucapan terima kasih sahaja tidak cukup untuk menghargai jasa pekerja pembersihan yang dianggap sebagai ‘hero sebenar’ meskipun tidak didendangkan.

- Advertisement -

“Merekalah hero sebenar yang terkadang tidak didendang, namun jasa dan keringat mereka sangat tinggi,” katanya.

Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2024 diadakan untuk meraikan pekerja E-Idaman Sdn Bhd, dengan kehadiran kepimpinan SWCorp Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar Perlis, di sini kelmarin.

“Tahniah diberikan kepada pekerja pembersihan yang telah menjalani latihan dan memperoleh E-Idaman Safety Passport.

“Program ini mula diperkenalkan pada 2022, memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan pekerja pembersihan (PRA) E-Idaman Sdn Bhd.

“Ini bertujuan memastikan setiap pekerja mengamalkan nilai kerja selamat dalam aktiviti yang mereka laksanakan, sesuai dengan tugasan mereka yang bersifat ‘Dirty, Difficult and Dangerous’,” katanya lagi.

Sebanyak 12 pekerja pembersihan dari E-Idaman Sdn Bhd di negeri Perlis diraikan sempena Hari Pekerja Pembersihan Negeri Perlis tahun ini.

Majlis disempurnakan oleh Asrul Aimran dan turut dihadiri oleh Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir, serta Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.

Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2024 E-Idaman Sdn Bhd memberi fokus kepada kakitangan yang telah bersara, mengalami sakit kritikal, serta yang telah menjalani latihan dan memperoleh E-Idaman Safety Passport.

Dari jumlah tersebut, seramai 10 pekerja pembersihan telah memperoleh E-Idaman Safety Passport, seorang pekerja dengan sakit kritikal, serta seorang pekerja yang bakal bersara.

E-Idaman Safety Passport dilaksanakan untuk memastikan setiap pekerja mengamalkan nilai kerja selamat dalam tugasan mereka yang berisiko tinggi.

Ia adalah antara usaha E-Idaman Sdn Bhd dalam memberikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam terbaik kepada masyarakat serta memastikan kesejahteraan dan kebersihan.

E-Idaman turut mendapat sokongan Syarikat IRDECO yang menyumbang bakul makanan kepada pekerja yang mengalami sakit kritikal sebagai tanda sokongan dan meringankan beban yang ditanggung.

“Semoga kita terus menghargai para pekerja pembersihan yang setia membersihkan persekitaran demi kebaikan bersama. Pengorbanan mereka adalah asas kebersihan yang kita nikmati selama ini,” tambah Asrul. – HARAKAHDAILY 26/7/2024

- Advertisement -