
ARAU: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Simpang Empat menganjurkan Jualan Amal Pakaian Terpakai (bundle) di DUN tersebut dengan tujuan meningkatkan kebajikan masyarakat setempat.
Staf PKWR Simpang Empat, Nazwa Ahmad berkata, idea ini tercetus apabila menyedari bahawa ramai wanita mempunyai banyak pakaian yang masih dalam keadaan baik tetapi tidak lagi digunakan.
“Selalu kan kita tengok orang perempuan terutamanya banyak baju dalam almari, tapi dah lama tak pakai. Jadi apa kata baju yang sudah tidak dipakai ini kumpul di sini dan buat jualan amal.
“Kita tak (tidak) letak harga ikut orang yang dia nak bagi berapa. Kadang ada yang tiada duit, kita bagi saja baju ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Ujarnya lagi, hasil daripada jualan amal itu akan digunakan untuk kebajikan khususnya di DUN Simpang Empat di mana program tersebut dimulakan awal tahun ini dengan sambutan sangat memberangsangkan.
Pakaian yang disumbangkan akan diasingkan terlebih dahulu, bagi memastikan hanya pakaian masih elok diberikan kepada golongan asnaf.
“Bukan hanya pakaian, ada yang sedekah telekung yang masih elok dan cantik,” tambah Nazwa.
Kata Nazwa lagi, menerusi inisiatif tersebut diharap ia dapat membantu golongan yang memerlukan selain menggalakkan masyarakat untuk berkongsi rezeki dan mengurangkan pembaziran. – HARAKAHDAILY 26/7/2024












