
WASHINGTON: Kumpulan pejuang Islam Palestin, Hamas pada Rabu berkata bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah ‘mengelirukan’ masyarakat antarabangsa dalam ucapannya di Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa bantuan ketenteraan dipercepatkan kepada negaranya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, pihaknya menganggap ucapan Netanyahu tentang usahanya yang dipergiatkan untuk mengembalikan tebusan adalah pembohongan sepenuhnya dan mengelirukan pendapat umum Israel, Amerika dan masyarakat antarabangsa, lapor Arab News.
“Sedangkan dia adalah orang yang menggagalkan semua usaha yang bertujuan untuk menamatkan perang dan memuktamadkan perjanjian untuk membebaskan tawanan, walaupun usaha berterusan daripada pengantara saudara kita di Mesir dan Qatar,” katanya menerusi kenyataan itu.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, Netanyahu dalam ucapannya di Kongres AS itu telah menunjukkan bahawa beliau tidak mahu memuktamadkan perjanjian gencatan senjata seperti yang dicadangkan oleh pihaknya.
“Ucapan Netanyahu penuh dengan pembohongan dan ia tidak akan berjaya menutup kegagalan dan kekalahan dalam menghadapi penentangan untuk menutup jenayah perang pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tenteranya terhadap penduduk Gaza.
“Sebarang pakatan dengan Israel dari mana-mana pihak akan menjadi pengkhianatan kepada darah para syuhada. Netanyahu juga berkata bahawa Israel tidak berusaha untuk menempatkan semula Gaza dan selepas perang dengan Hamas, wilayah itu harus dipimpin oleh rakyat Palestin yang tidak berniat untuk memusnahkan Israel,” katanya.
Netanyahu pada Rabu berucap kepada Kongres AS dalam ucapan rekod keempat oleh seorang pemimpin asing dalam mesyuarat bersama Senat dan Dewan Perwakilan, di mana beliau bercakap tentang keperluan menjalin pakatan keselamatan di Timur Tengah untuk menentang Iran. – HARAKAHDAILY 25/7/2024




















