
KUALA LUMPUR: Rakyat semakin hilang kepercayaan kepada formula gagal Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) membentuk kerajaan campuran.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, keadaan negara yang huru-hara dengan pelbagai masalah kepimpinan memerlukan agenda Muafakat Nasional dikembalikan semula bersama kumpulan UMNO yang menolak DAP.
Menurutnya, sekatan peruntukan, pemimpin lompat parti, rasuah pilihan raya, isu perkauman, kos sara hidup dan sebagainya membuktikan pemimpin hari ini tidak bersama-sama atas prinsip perjuangan yang disepakati.
“Pemimpin Melayu Islam mesti disatukan atas muafakat bangsa untuk membentuk sebuah pemerintahan yang kuat dan adil untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, antara tadbir urus yang baik adalah dengan memastikan setiap rakyat layak dibantu oleh setiap wakil rakyat yang telah dipilih melalui proses demokrasi yang sah.
Tam bahnya, sikap pilih kasih dengan menyekat peruntukan kepada pembangkang dan mengugut peimpin merencatkan urusan keperluan rakyat di kawasan tertentu.
“Tekanan ini membawa kepada sesetengah pemimpin memilih untuk beralih sokongan dan mengkhianati perjuangan parti dan penyokong.
“Kestabilan negara terancam jika fenomena ini terus berlaku,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, agenda muafakat nasional juga bakal menjamin dasar dan polisi ekonomi yang lebih dekat dan diperlukan rakyat.
Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) pernah menguruskan Malaysia ketika pandemik.
Tambahnya, ekonomi menjadi cabaran terbesar ketika itu untuk kerajaan memastikan setiap rakyat dapat meneruskan hidup terutama keperluan makanan dan kesihatan.
“Kerajaan mampu mewujudkan kerjasama dengan entiti bukan kerajaan seperti badan kewangan untuk membantu rakyat menguruskan hutang mereka supaya duit yang ada didahulukan untuk keperluan hidup,” katanya.
Beliau menambah, rakyat juga jarang mendengar isu perkauman dibangkitkan seperti ugutan dan kritikan yang menceroboh sempadan kaum dan agama lain.
“Pemimpin mengelakkan sebarang provokasi dan campur tangan yang boleh mengguris hati mana-mana pihak.
“Apa yang dianjurkan dan ditegah untuk satu kau tidak dicampur aduk dengan kaum lain,” katanya.
Oleh itu, jelas beliau muafakat nasional mesti direalisasikan dengan menyatukan orang Melayu supaya wujud satu kumpulan pemimpin negara yang kuat dan stabil untuk menjaga survival orang Melayu di tanah sendiri.
“Kekuatan ini wajib dikembalikan dan berterusan dipelihara kerana sejarah membuktikan kumpulan ini mengamalkan toleransi yang tinggi terhadap kaum lain sejak awal kedatangan mereka ke tanah ini,” katanya lagi.
Menurutnya, apa yang menjadi hak Melayu telah dijamin dan terpelihara oleh perlembagaan seperti tanah, ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Jaminan ini sama sekali tidak boleh ada tangan yang cuba mengganggu dan mempertikai sehingga orang Melayu berisiko hilang hak dan keistimewaan mereka di negara sendiri.
“Usaha ini mesti sentiasa dijelaskan untuk mengembalikan kepercayaan seluruh pemimpin dan rakyat terhadap agenda kesatuan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











