Bahaya ideologi moden

- Advertisement -

JAGALAH akidah kita supaya tidak ‘punah’. Walaupun mungkin kita berbuat dosa dan lemah, tetapi tetaplah jaga akidah kita. Dosa Insya-Allah ada peluang untuk diampunkan oleh Allah.

Tetapi syirik, mengikut jumhur ulama, ia tidak diampunkan oleh Allah kecuali dia bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah. Kadang-kadang, dosa lain akan diampunkan, cukup hanya dengan bertaubat. Tetapi dosa syirik, perlu mengucap semula syahadah.

- Advertisement -

Dalam satu ayat, Allah berfirman:

وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا
“Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh.” (An-Nisaa’: 116)

Contoh syirik adalah pergi ke tempat memuja, meletakkan ayam panggang di atas pusu dan memuja tempat keramat. Juga dikatakan syirik sekiranya berpegang dengan fahaman selain Islam.

Ismail Al-Farouqi merupakan salah seorang ulama di Mesir dan pengasas kepada Triple I-T iaitu International Institute of Islamic Thought (IIIT) di Amerika. Beliau dan isterinya, Lamya mati dibunuh di dalam rumahnya.

Salah satu bukunya mengenai tauhid, katanya syirik bukan sekadar berhala atau tempat keramat, bahkan juga apabila berpegang dengan ideologi atau -isme moden seperti sekularisme, liberalisme dan materialisme.

Seandainya kita berpegang dengannya sehingga melawan Islam, maka syiriklah kita. Sebab ideologi moden adalah umpama agama yang menjadi kepercayaan dan pegangan kita.

Dahulu orang sembah berhala, sekarang orang sembah ideologi. Islam tetapi sekular. Islam tetapi materialis. Islam tetapi pragmatik. Islam tetapi liberalis. Tidak boleh begitu.

Islam adalah Islam. Sama juga dengan hadis, hadis maudhu’ sebenarnya tiada pun. Yang kita panggil bukan hadis ialah hadis maudhu’. Tetapi, nak mudah faham perbincangan, maka disebut hadis maudhu’ iaitu hadis yang direka dan dicipta. Palsu.

Berhala ini tidak semestinya ada bentuk, boleh jadi juga abstrak. Nafsu kita boleh menjadi berhala. Menurut nafsu sehingga melanggar hukum, tidak kisah dosa dan pahala serta tidak kisah halal dan haram. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -