
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS negeri, Zurk Ahmad mengenai isu penajaan sekolah oleh syarikat arak.
Ketuanya, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menegaskan bahawa tiada pengecualian dalam pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambahnya, adalah amat mengecewakan apabila pemimpin DAP mengakui bahawa selama tiga dekad, syarikat arak telah membiayai sekolah-sekolah Cina di Malaysia.
Katanya, ini adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan melanggar pekeliling KPM yang jelas melarang penerimaan dana daripada syarikat yang menjual produk tembakau dan minuman beralkohol.
“Syarikat arak dan rokok telah lama dihalang untuk diiklankan di TV dan media perdana, serta tidak dibenarkan menaja sebarang acara sukan di Malaysia.
“Tindakan membenarkan penajaan oleh syarikat arak mencemarkan institusi pendidikan dan memberi kesan negatif kepada moral anak-anak yang dididik di sekolah,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu menegaskan, isu itu bukan soal perkauman atau politik, tetapi soal moral dan imej pendidikan di Malaysia.
Tambahnya, tindakan membenarkan penajaan oleh syarikat arak mencemarkan institusi pendidikan dan memberi kesan negatif kepada moral anak-anak yang dididik di sekolah.
Wan Hasrina juga kesal dengan alasan Ahli Parlimen Sepang bahawa beliau tidak boleh mengabaikan hak masyarakat lain adalah jauh menyeleweng.
“Ini bukan soal menyekat hak mana-mana kaum untuk menerima sumbangan, tetapi soal menjaga imej dan mutu pendidikan di Malaysia.
“Budaya menerima penajaan daripada syarikat arak mesti dihentikan walaupun telah diamalkan sejak lama.
“Tindakan tegas perlu diambil untuk memastikan pemimpin dan sekolah mematuhi pekeliling kerajaan yang dibuat untuk menjaga nama baik sistem pendidikan di Malaysia,” tegasnya.
Dewan Muslimat juga, katanya menyeru agar timbalan menteri itu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di masa hadapan dan sentiasa berusaha untuk memajukan sektor pendidikan dengan cara yang konstruktif.
“Kami sekali lagi menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Zurk Ahmad dan akan terus berdiri teguh dalam memperjuangkan kepentingan pendidikan di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024











