Larangan arak demi keselamatan dan moral para pelajar

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam kenyataannya melarang tajaan oleh syarikat arak di sekolah-sekolah perlu disokong semua pihak, kata Pengerusi I-Medik Johor, Dr Sakinah Abdullah.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya.

“Saya sebagai doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru agar semua pihak menyokong penuh usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah YB Fadhlina Sidek dalam melarang tajaan oleh syarikat arak di sekolah-sekolah.

“Langkah ini penting bagi memperkukuh sistem pendidikan negara demi masa depan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook NGO itu semalam.

Beliau dalam kenyataan itu dengan tegas menyelar tindakan Dong Zong kerana sering kali mempersoalkan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memperkasa pendidikan kebangsaan.

“Dong Zong harus berhenti menjadi penghalang kepada kemajuan pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut mengutuk sekerasnya pendirian Menteri Pengangkutan, serta mana-mana pihak yang menekan KPM serta kerajaan bagi menerima sumbangan secara tidak langsung mempromosi arak.

Termasuk katanya, pada banner-banner dalam acara-acara yang melibatkan sekolah-sekolah KPM, sama ada SK, SJKC, SJKT dan lain-lain.

“Tindakan ini tidak boleh diterima dan harus dihentikan serta-merta demi menjaga keselamatan dan moral pelajar kita. Alkohol adalah bahaya kepada kesihatan dan kesejahteraan individu, terutama sekali bagi kanak-kanak dan remaja.

“Kita harus bersama-sama mengingatkan masyarakat terhadap keburukan alkohol dan mencegah penularannya. Mempromosikan arak di sekolah-sekolah melalui poster dan banner sumbangan boleh merosakkan pemikiran mereka dan mempengaruhi mereka ke arah perilaku yang tidak diingini,” katanya.

Kerana itu, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia agar menolak usaha ini dan menjaga integriti sekolah sebagai tempat yang selamat dan bersih dari sebarang pengaruh negatif.

Isu mula tercetus apabila Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu menghadiri satu majlis penyerahan sumbangan yang turut melibatkan sumbangan satu jenama arak di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (,SJKC) di kawasan Parlimennya baru-baru ini.

Ia kemudiannya mencetuskan polemik dengan Menteri Pendidikan membuat kenyataan bahawa perkara itu dilarang, namun beberapa orang pemimpin DAP di dalam kerajaan memberi pandangan berbeza.

Antaranya, Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan bahawa perkara itu sudah menjadi amalan biasa di SJKC sekian lama dan akan menjelaskan kepada kabinet berhubung perkara itu. – HARAKAHDAILY 25/7/2024

- Advertisement -