
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Negara akan berbahas Rang Undang-Undang (RUU) pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada persidangan minggu hadapan, Isnin (29 Julai).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah menghujahkan perbahaskan RUU MAVCOM tersebut di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
“Saranan kami ialah kerajaan perlu tangguhkan dahulu pembubaran agar MAVCOM diberikan ruang dan kuasa yang cukup tanpa menerima apa-apa tekanan daripada Menteri Pengangkutan.
“(Ini) untuk menyiasat kesesuaian penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) ini kepada Global Infrastructure Partner (GIP) BlackRock,” katanya yang juga Ketua Armada Bersatu dalam satu kenyataan, tengah malam tadi.
Menurut beliau, PN bimbang pembubaran MAVCOM, seterusnya penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memberi pemusatan kuasa secara unilateral yang terlampau luas.
“(Iaitu), kepada Menteri Pengangkutan seperti yang termaktub dalam RUU CAAM (Pindaan) 2004 kerana hal ini akan memberi kesan kepada proses tadbir urus dan tata kelola yang baik dalam mengawal selia urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP milik BlackRock.
“Saya menyeru semua Ahli Dewan Negara dan semua rakyat Malaysia untuk terus membantah urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP milik BlackRock kerana kesan buruk dan mudaratnya jauh lebih besar dan merugikan negara berbanding manfaat yang dijanjikan oleh pihak kerajaan Malaysia Madani,” tegasnya.
Tambah Wan Fayhsal, beliau telah digantung enam bulan daripada terlibat dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tanpa diberikan sebarang ruang untuk membela diri.
“Penafian hak untuk didengari ini jelas bertentangan dengan prinsip Keadilan Asasi (Natural Justice).
“Juga hak saya sebagai Ahli Dewan Rakyat yang mewakili rakyat Machang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya yang berikrar tidak akan berhenti bersuara mengenai isu tersebut.
Katanya lagi, seperti dijelaskan oleh mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, beliau sepatutnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan dan kebenaran fakta yang terkandung dalam surat layang diberikan oleh pemberi maklumat dalaman (whistleblower) KWSP.
Wan Fayhsal menyatakan, beliau yakin surat itu bukan satu fitnah jahat, sebaliknya ianya adalah penyataan fakta akan kebimbangan para pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang enggan bersubahat dengan urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP milik BlackRock itu.
“Ini kerana menurut maklumat didedahkan itu serta diketahui umum, melalui penjualan saham dalam satu blok yang besar kepada GIP milik BlackRock itu telah dikenal pasti antara penyumbang utama pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.
“Saya mengalu-alukan usaha Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding ke atas urus niaga penswataan MAHB ini dengan mengambil kira isi kandungan dan fakta yang terkandung di dalam surat tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024




















