
KITA orang Islam perlu berusaha untuk membawa Islam supaya menjadi asas kepada negara dan kehidupan kita. Apabila Islam berjalan, barulah orang akan nampak Islam ini ‘comel’.
Kalau tidak, ia umpama kita menjual ubat tetapi ubatnya tiada. Oleh sebab itu, perlu ada contoh negara Islam. Kini di Barat, ramai yang memeluk Islam sehingga pemimpin mereka berasa takut. Orang Islam makin bertambah ramai.
Di England, beberapa orang Datuk Bandar atau Mayor beragama Islam dan beberapa orang Islam di sana yang menjadi ahli parlimen. Jadi dengan perkembangan yang ada, tidak mustahil suatu hari nanti Eropah akan menjadi negara Islam.
Pada tahun 1983, orang putih takut dengan perkembangan Islam. Gereja-gereja ditutup malah dijual, dibeli oleh orang Arab dan menukarkannya kepada masjid dan sekolah agama. Akhirnya, kerajaan British mengeluarkan peraturan larangan jualan gereja kerana malu.
Ada seorang penulis menulis di akhbar, katanya “Hanya Tuhan Sahaja Boleh Selamatkan England”. Dia merujuk kepada peristiwa Perang Dunia Kedua atau The Battle Of Britain. Jerman menyerang Perancis dan England, tetapi dikalahkan oleh serangan udara. Jerman sudah menakluk Perancis cuma belum sempat menakluk England.
Penulis tersebut apabila menceritakan mengenai kebangkitan Islam di Barat, dia berkata, hanya Tuhan sahaja yang boleh menyelamatkan England seperti yang berlaku dalam Perang Dunia Kedua.
Apabila orang Islam di Gaza dibunuh, orang putih mengkaji sebab apa berlaku peristiwa 11 September. Mengapa orang Yahudi dan Kristian sangat marah kepada orang Islam.
Dia menjumpai sebabnya iaitu kerana rupa-rupanya Islam ialah agama yang molek, betul dan ajaran yang ‘comel’. Oleh sebab itu, seorang demi seorang memeluk Islam.
Jadi, janganlah terkejut sekiranya suatu masa nanti Eropah menjadi negara Islam, kita pula menjadi negara lain. Sebab Allah telah menyebutnya dalam al-Quran sepertimana ayat:
وَإِن تَتَوَلَّوْاْ يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
Maksudnya: “Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain” (Muhammad: 38)
Contohnya, kalau sekarang orang Melayu, mungkin nanti Allah akan menukar dengan orang Cina seperti yang terjadi di Singapura. Orang yang kuat berdakwah di sana ialah orang Cina.
Mereka menubuhkan Persatuan Arqam yang disertai oleh ‘engineer’, doktor, peguam dan sebagainya. Sebab orang Melayu sudah tidak peduli terhadap Islam. Oleh sebab itu, jagalah molek Malaysia ini. Kalau tidak, malulah kita.
Islam merupakan ajaran Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat kepada seluruh makhluk. Dalam ayat lain, Allah berfirman:
وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)” (Saba’: 28)
Inilah Islam yang berbeza dengan agama Kristian atau agama Nabi Isa dan agama Nabi Musa. Nabi Isa dan Nabi Musa menjadi rasul kepada Bani Israel sahaja.
Oleh sebab itu, Nabi Isa tidak menerima orang lain menjadi pengikutnya. Agama Yahudi sampai ke hari ini tidak berdakwah kepada orang lain. Agama yang tidak berkembang ialah agama Yahudi. Kalau bukan keturunan Bani Israel, tidak boleh masuk agama Yahudi.
Dalam kitab Bible, Nabi Isa menyebut: “I am not sent but unto the lost sheep of the house of Israel” (Matthew 15:24-26 KJV), maksudnya ‘Aku ini Tuhan hantar kepada domba-domba yang sesat daripada Bani Israel’.
Ramai yang menghidap penyakit sopak dan kusta berjaya disembuhkan oleh Nabi Isa, jadi mereka nak masuk Islam. Tetapi, Nabi Isa menolaknya.
Agama akhir zaman ialah Islam. Agama lain ada tempoh sah lakunya. Kristian asalnya bukan daripada ajaran Nabi Isa, tetapi Kristian yang diasaskan oleh Paul atau disebut sebagai Pauline Christianity. Paul asalnya bukan pengikut Nabi Isa tetapi datang daripada bangsa lain.
Dia kuat melawan ajaran Nabi Isa. Pada suatu hari, dia rebah kerana menghidap penyakit gila babi atau epilepsi. Setelah kembali sedar, dia mengisytihar bahawa dia mengikut ajaran Nabi Isa dan berdakwah. Dia membentuk dan menyusun semula agama Kristian. Sehinggalah munculnya Christmas, Trinity dan sebagainya.
Oleh itu, kita haruslah berbangga kerana menjadi orang Islam. Kita juga haruslah sayang kepada agama kita kerana Islam ini merupakan pilihan Allah. Dalam sejarah, kebenaran dan kebaikan ajaran Islam tidak dapat dipertikaikan.
Ketika arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz mula-mula menjadi Menteri Besar, beliau memanggil ketua-ketua agama seperti paderi, Tok Cha dan lain-lain untuk berjumpa dengannya. Beliau memberitahu bahawa beliau ingin menjadikan Islam sebagai dasar negeri Kelantan dan bertanya kepada mereka, apa yang tidak betul dengan Islam. Tiada seorang pun mampu menjawabnya.
Kita bercakap mengenai agama. Andai kata orang Islam tidak baik, itu adalah masalah dia. Masalah peribadinya bukan masalah agama. Sebagai contoh, pegawai SPRM yang terlibat dengan rasuah, itu adalah masalah individu, bukannya SPRM keseluruhan. Pegawai polis yang mengambil dadah, itu adalah masalah pegawai, bukan PDRM keseluruhan.
Oleh itu, kita orang Islam perlu berusaha untuk menjadi ‘comel’ supaya agama kita tidak dilihat ‘punah’. Kadang-kadang, agama menjadi ‘punah’ disebabkan oleh kita. – HARAKAHDAILY 24/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















