
SEOUL: Belon berisi sampah yang dihantar oleh Korea Utara telah memasuki ke ruangan udara Korea Selatan dan jatuh di pekarangan pejabat presiden negara berkenaan pada Rabu.
Penghantaran belon itu dibuat beberapa hari selepas Korea Selatan meningkatkan siaran lagu-lagu K-pop dan mesej propagandanya yang merentasi sempadan ke Korea Utara yang lengkap bersenjata, lapor ABC News.
Ia adalah kali pertama pejabat pemimpin Korea Selatan di pusat bandar Seoul, yang dilindungi oleh berpuluh-puluh askar dan zon larangan terbang, telah terkena secara langsung oleh belon-belon pembawa sampah yang dilancarkan oleh Korea Utara sejak Mei.
Insiden yang berlaku itu turut mendorong Seoul untuk menggerakkan pasukan tindak balas kimianya dalam pembalasan perang propaganda yang semakin meningkat antara kedua-dua negara itu.
“Pasukan tindak balas kimia, biologi dan radiologi (peperangan) telah selamat mengutip belon-belon sampah berkenaan.
“Selepas siasatan, keputusan telah mengesahkan bahawa tiada bahaya atau pencemaran objek,” kata pegawai perkhidmatan keselamatan presiden Korea Selatan.
Ketua Turus Bersama Korea Selatan sebelum ini mengesahkan jirannya di Utara itu sekali lagi telah menghantar belon berisi sampah, manakala pihak berkuasa bandar Seoul juga telah mengeluarkan amaran pada pagi Rabu.
“Jika anda menjumpai belon yang jatuh, jangan sentuh ia, dan laporkan kepada unit tentera atau balai polis terdekat,” katanya dalam amaran tersebut.
Pelancaran belon pada hari ini, Rabu (24 Julai) merupakan yang ke-10 dilakukan Korea Utara sejak akhir Mei, dengan lebih 2,000 belon besar setakat ini telah menjatuhkan kertas buangan, sisa kain, puntung rokok dan juga baja di Korea Selatan.
Korea Utara berkata, ia merupakan tindak balas kepada tindakan aktivis Korea Selatan yang menabur risalah politik merentasi sempadan melalui belon mereka sendiri. -Agensi/– HARAKAHDAILY 24/7/2024




















