
KUALA LUMPUR: Kejayaan kerajaan Republik Rakyat China yang mengusahakan Perjanjian Perpaduan Nasional (National Unity Agreement) telah menemukan jalan damai antara Hamas dan Fatah di bumi Palestin.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dengan termeterainya perjanjian ini maka seterusnya akan ditubuhkan ‘Kerajaan Rekonsilasi Nasional Sementara’.
Menurutnya, pertubuhan kerajaan Perpaduan Nasional itu dipercayai dapat mengelakkan pertembungan politik dalaman di bumi Palestin yang kemudiannya mampu menyatukan warga negara itu, baik di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza – dua wilayah yang dipisahkan dan terkepung oleh negara haram, Israel.
“PAS mengucapkan syabas kepada kerajaan Republik Rakyat China kerana telah berjaya merintis jalan damai di Palestin apabila telah berjaya mengusahakan ‘National Unity Agreement’ pada hari ini di Beijing, China antara 14 kumpulan di Palestin termasuk Hamas dan Fatah.
“Penyatuan ini juga mampu mempercepatkan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka yang seterusnya mengakhiri kezaliman dan penjajahan regim Zionis Israel di bumi Palestin sejak 76 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Khalil berkata, kejayaan China membuktikan kegagalan Barat khususnya Amerika Syarikat dan Britain dalam menangani kezaliman dan penjajahan regim Zionis Israel di Palestin, dan kegagalan teruk polisi serta dasar luar mereka di Asia Barat.
Beliau juga menyifatkan pihak barat hanya menggunakan puak haram Zionis Israel sebagai proksinya demi mengekalkan kuasa geopolitik dan hegemoni mereka di Asia Barat.
Tambah beliau, Palestin dijadikan ‘ibu pejabat’ operasi geopolitik dan ‘kambing hitam’ atas segala kegagalan yang berlaku di Asia Barat.
“Semoga dengan termeterainya perjanjian ini, sinar kebebasan dan kemerdekaan akan kembali menyinar di bumi Al-Quds tidak lama lagi, Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024




















