Kementerian perlu serius sekolah terima dana syarikat arak

Dr Zulkeflee Yaacob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kehadiran seorang pemimpin Melayu dari Pakatan Harapan (PH) pada ‘Konsert Amal Pendidikan’ dengan mengumpul dana melibatkan syarikat arak tidak sepatutnya berlaku.

- Advertisement -

Pensyarah Psikososio sebuah universiti awam, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, golongan remaja mudah terdedah dengan iklan alkohol seperti dipromosi Carlsberg Malaysia dan Guinness Anchor Bhd (GAB).

Katanya, pada laman sesawang Carlsberg Malaysia terpampang wajah kanak-kanak riang memegang beg hijau Carlsberg ketika kegiatan di luar kelas Disember lalu.

Kata beliau, sebuah syarikat arak pernah menyelusup masuk melalui kerjasama dengan media tertentu dengan menaja akhbar di 40 sekolah rendah Tamil.

“Sebelum ini sebuah syarikat arak bekerjasama dengan sekolah Tamil bagi mempromosi pembelajaran. Syarikat itu menawarkan kelas pemulihan bahasa Inggeris secara percuma dan mewujudkan sudut membaca di sekolah Tamil.

“Mereka mempromosi jenama termasuk termasuk kepada pelajar di bawah umur. Dakwaan untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat India hanya omong kosong,” katanya di sini.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang ahli politik Melayu menghadiri program mempromosi iklan minuman keras di sebuah sekolah rendah vernakular jenis kebangsaan Cina di Sepang.

Sedangkan Kementerian Pendidikan Malaysia melarang sebarang penajaan dari syarikat yang terlibat dalam aktiviti arak dalam pekeliling pada tahun 2018.

Dr Zulkeflee juga berkata, kajian di lapangan mendapati sistem peraturan gagal melindungi golongan muda daripada terdedah kepada iklan tersebut.

Katanya, langkah pencegahan yang lebih ketat perlu dilaksana bagi menghadkan iklan alkohol di kawasan yang sering dikunjungi remaja termasuk sekolah, pusat beli-belah dan kompleks sukan.

“Pengambilan alkohol memberi impak buruk kepada negara. Jutaan orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat alkohol malah risiko utama kematian pramatang dan kecacatan bayi.

“Malah Majlis Keselamatan Jalan Raya mendapati 30 peratus kemalangan jalan raya di seluruh negara disebabkan memandu dalam pengaruh alkohol.

“Alkohol punca tingkah laku agresif dan ganas meruntuhkan institusi rumah tangga atau keluarga, penderaan kanak-kanak, pergaduhan dan pelbagai jenayah serta gejala sosial,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap Kementerian Pendidikan perlu meneliti serius penganjuran program amal khususnya membabit sekolah yang menerima dana daripada syarikat arak. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -