KUALA LUMPUR: Status gangguan bekalan air akibat henti tugas sementara berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah dijangka selesai sekurang-kurangnya pada Jumaat (26 Julai) ini.
Bekalan air terawat yang bersih pada keempat-empat Loji Rawatan Air (LRA) telah beroperasi sepenuhnya dan sudah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna.
Sehingga 6 pagi tadi, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 9.9 peratus.
“Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas pada esok, 25 Julai (Khamis) dijangka akan mencapai sekitar 40% pada jam 8 pagi dan diikuti 90% pada jam 8 malam.
“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8 pagi, 26 Julai (Jumaat) ini.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” ujar Air Selangor dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, bantuan alternatif dengan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.
Terdahulu, Harakahdaily telah melaporkan empat loji yang terlibat adalah LRA Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2), dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).
Sementara tujuh wilayah Air Selangor yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula dari Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Justeru, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa, daripada saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
Selain itu juga, para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. – HARAKAHDAILY 24/7/2024




















