‘Adakah Timbalan Menteri tidak sedar ini bukan isu perkauman?’

Nurul Noh Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Adakah Timbalan Menteri tidak sedar bahawa ini bukanlah isu perkauman, tetapi lebih kepada persoalan sumber dana sekolah dan etika dalam menerima sumbangan yang bertentangan dengan nilai moral dan agama.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Noh Omar berkata demikian mengulas kontroversi berkenaan penggunaan logo syarikat arak di replika cek sumbangan ke sekolah, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Aiman Athirah yang mendapat perhatian dan kritikan dari Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

“Isu ini membangkitkan reaksi hebat dalam kalangan umat Islam, yang melihat arak sebagai suatu yang haram dan tidak patut dikaitkan dengan pendidikan.

“Aiman Athirah juga telah menuduh PAS menghasut emosi orang Melayu dengan membangkitkan isu ini sambil menyifatkannya sebagai hipokrit,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan, PAS, dalam membangkitkan isu ini, sedang menyuarakan kebimbangan majoriti umat Islam di negara ini, dengan Timbalan Menteri berkenaan menganggap ini sebagai hasutan yang bertujuan untuk memanipulasi emosi masyarakat.

“Mengapa kita terpaksa menerima dana dari syarikat arak? Adakah ini mencerminkan kekurangan dana dari kerajaan untuk sektor pendidikan? Jika benar, ini adalah isu yang lebih besar yang perlu ditangani dengan segera,” ujarnya.

Tambah Nurul, PAS juga dituduh bersikap hipokrit kerana, menurut Aiman Athirah, mereka sanggup bersalam dengan tangan yang makan daging babi semasa kempen politik, tetapi kini membangkitkan isu arak.

“Tuduhan ini menunjukkan seolah-olah PAS sedang lari dari isu sebenar, yaitu pendedahan logo arak kepada anak-anak sekolah. Arak bukan sahaja isu agama tetapi juga penting dalam aspek moral.

“Penerimaan dana dari industri ini secara tidak langsung memberikan mesej yang salah dan normalisasi kepada murid-murid berkenaan logo arak dan juga sumber kewangan yang bertentangan dengan nilai-nilai moral dan etika pendidikan,” tambahnya.

Oleh itu, menurut beliau, sebagai sebuah negara yang pelbagai, kita perlu mencari jalan tengah yang menghormati nilai-nilai semua pihak dan memastikan kebajikan pendidikan anak-anak kita tidak terjejas.

“Kerajaan perlu bersikap konsisten dalam prinsip dan tindakan mereka serta harus memahami kebimbangan rakyat tanpa meremehkan mereka.

“Kerajaan perlu mendengar dan memahami kebimbangan rakyat tanpa menuduh mereka menghasut atau meremehkan isu yang sensitif ini.
“Tambahan lagi berkenaan isu pendidikan dan pembentukan generasi akan datang. Jangan semua teguran dilihat dari segi politik semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -