
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Gombak menyelar kenyataan ‘separuh masak’ Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang tersasar jauh dan tidak faham bidang tugas kementerian menjaga kesucian institusi pendidikan negara ini.
Naib Ketua Pemudanya, Mohamad Kamarul Helmi Mohamad Nawawi berkata, merujuk kenyataan media Timbalan Menteri berkenaan yang sebelum ini menyelar Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, atas dakwaan kononnya sengaja memanaskan isu mengenai sumbangan syarikat minuman keras ke atas sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.
“Pertamanya, ia jelas dan tuntas adalah amalan yang bertentangan dengan modal kompas sebagai sebuah institusi pendidikan untuk mempunyai sebarang hubungan penerimaan sumbangan daripada syarikat-syarikat minuman keras dan seumpamanya.
“Tular satu surat pekeliling daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai larangan sebarang penerimaan sumbangan dikeluarkan pada 22 Julai 2024 dan perkara ini sewajarnya terpakai kepada seluruh institusi pendidikan di bawah KPM.
“Alasan bahawa amalan menerima sumbangan ini sudah diamalkan lama juga tidak boleh diterima apatah lagi pekeliling kementerian telah dikeluarkan dan ia jelas bertentangan.
“Kami merasakan kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar adalah sangat relevan dan perlu diambil perhatian serta Dewan Pemuda PAS Gombak mendukung penuh tindakan tegas segera dilaksanakan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berpandangan bahawa kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan pekeliling kementerian kekal tidak menerima sumbangan mana-mana syarikat minuman keras sebagai amat lemah dan terlalu umum.
Ini kerana menurutnya, Menteri Pendidikan sewajarnya bertindak dan rakyat mahu tindakan lebih tegas dan efektif dilaksanakan kerana isu sumbangan syarikat arak, dan khabarnya syarikat judi juga telah lama berlaku kepada sekolah-sekolah Cina di bawah kementerian.
“Kami menuntut dan menggesa siasatan penuh dilakukan dan pihak KPM wajar bertindak ke atas pihak yang telah melanggar keluhuran institusi pendidikan di Malaysia dengan alasan ia telah lama berlaku.
“Dalam isu ini sewajarnya semua mufti di semua negeri, para agamawan dan asatizah berpengaruh menyatakan sokongan agar tiada sumbangan syarikat minuman keras diberikan kepada mana-mana institusi pendidikan negara.
“Ketegasan ini tidak bermakna Islam menghalang bangsa dan agama lain untuk mengamalkan ajaran dan kebudayaan masing-masing, tetapi ia hendaklah tidak melanggar norma dan undang-undang yang telah ditetapkan di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024




















