
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan meneruskan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat golongan B40, meskipun berdepan sekatan dalam pembayaran royalti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, usaha itu akan diteruskan mengikut perancangan yang telah dilaksanakan, termasuk kepada masjid yang berdaftar.
“Ini adalah tanggungjawab sosial daripada kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Samsuri turut menegaskan bahawa walaupun pembayaran royalti tidak mengikut jadual, pemberian subsidi kepada penerima manfaat tidak akan dikurangkan.
“Sebagaimana kita hidup sebagai manusia, tetap kena makan, jadi susah ke, senang ke hidup kita kena usaha.
“Setakat ini, kita masih boleh bertahan walaupun dalam keadaan sedemikian, tapi pada kerajaan negeri, hak itu adalah hak yang perlu diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri memberi subsidi air percuma melibatkan 11,832 akaun pengguna B40 dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun.
Pemberian subsidi air juga diteruskan kepada masjid dan surau berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun, menjadikan RM2.5 juta setahun ditanggung kerajaan negeri bagi tujuan itu. – HARAKAHDAILY 23/7/2024




















