
KUALA LUMPUR: Penganjuran sebuah program kutipan dana sekolah daripada kilang minuman keras baru-baru ini telah mencemari nilai murni pendidikan negara.
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Sabirin Marsono berkata, program ini merupakan satu pelanggaran dan ketidakpatuhan kepada pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam perkara yang mencemarkan kemurnian sistem pendidikan.
“Ia melibatkan, mempamerkan dan mempromosikan arak yang menjadi antara punca kepada pelbagai kerosakan akhlak dan moral untuk pelajar sekolah khususnya.”
“Bagi memelihara kemurnian dalam pembangunan perkembangan anak-anak di semua institusi pendidikan maka semua sumber berkaitan termasuk pendanaan kewangan mestilah juga berpunca daripada sumber yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, katanya lagi, kehadiran beberapa pemimpin kerajaan Negeri Selangor dan Pusat juga seakan ‘dilihat sangat menyokong dan merestui’ keterlibatan syarikat arak dalam program berkaitan pendidikan adalah merupakan satu perkara yang sangat tidak wajar sama sekali.
“Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Aiman Athirah Sabu ialah seorang Muslimah yang sepatutnya lebih maklum akan hukum agama dan ketidaksesuaian beliau untuk berada di majlis yang berbaur (penglibatan tajaan) arak seperti itu.
“Sebagai individu Muslim bertaraf Timbalan Menteri, berpengetahuan luas dan mewakili ramai Muslimat yang berhijab labuh, beliau boleh sahaja memaklumkan kepada penganjur tentang percanggahan nilai Islam pada diri beliau.
“Kami amat yakin bahawa sebagai warganegara Malaysia penganjur akan faham dan menghormati beliau sebagai seorang penganut agama Islam dan tentunya penganjur tidak akan menjemput beliau untuk berada di atas pentas memegang bersama ‘mock cheque’ yang jelas terpampang logo syarikat arak terbabit,” ujarnya.
Difahamkan, Aiman Athirah yang juga merupakan Ketua Wanita AMANAH telah memberi alasan bahawa beliau telah hadir ke program tersebut tanpa pengetahuan awal tentang senarai penyumbang dana termasuklah sumbangan oleh syarikat minuman keras itu.
Selain itu juga, Ahli Parlimen Sepang itu juga memaklumkan bahawa beliau tidak memaklumi pekeliling Perkara 7.3 yang dikeluarkan oleh KPM sejak 2018 oleh pihak pengurusan sekolah.
Justeru, ulas Sabirin, ia adalah satu alasan yang tidak dapat diterima akal, dan kejadian seperti ini pastinya mengundang tanda tanya tentang tahap pemantauan yang dilaksanakan oleh KPM ke atas aktiviti sumbangan yang berlaku di sekolah.
“Tidak masuk akal yang sihat apabila pemimpin kerajaan turut sama terlibat dan merestui keterlibatan syarikat arak di dalam membangun prasarana pendidikan; samada mereka tidak tahu atau mereka tidak peduli.
“Dan tidak boleh diterima akal apabila ada Timbalan Menteri yang memberi kenyataan bahawa pekeliling KPM yang berkaitan tidak semestinya dipatuhi dan seolah-olah mengulangi kenyataannya bahawa manifesto bukan kitab suci?” katanya.
Sehubungan dengan itu, Sabirin menegaskan bahawa tiada kompromi bagi mana-mana pengurusan sekolah yang dengan sewenang-wenangnya melanggar pekeliling KPM di atas perkara yang boleh mencemarkan kemurnian pendidikan dengan nilai yang boleh merosakkan moral dan akhlak pelajar. – HARAKAHDAILY 23/7/2024




















