Lastik burung tak dibenarkan Islam kecuali…

- Advertisement -

SEBELUM peperangan bermula, Nabi berpesan kepada tenteranya supaya jangan membunuh orang tua, kanak-kanak dan perempuan, jangan menceroboh kehormatannya, jangan menebang pokok yang berbuah, jangan membakar kebun dan jangan merobohkan rumah (Rujuk Riwayat Abu Daud 2614). Khulafa Ar-Rasyidin juga berpesan dengan pesanan yang sama.

Kenapa pokok kayu pun tidak boleh ditebang? Kerana itulah kepentingan hidup. Bukan semua orang mati dalam peperangan. Yang masih hidup nak makan apa seandainya pokok ditebang dan kebun dibakar? Di mana mereka nak tinggal seandainya rumah dirobohkan?

- Advertisement -

Semasa Sayyidina Umar menjadi khalifah, tentera Islam menyerang bandar-bandar yang dikuasai oleh Rom dan Parsi. Beliau berpesan supaya jangan mengambil tanah dan merampas rumah orang.

Walaupun dibenarkan dalam Islam, apabila musuh kalah, dia menjadi tawanan dan hartanya menjadi milik orang Islam. Tetapi, beliau berpesan supaya jangan mengambil tanah dan rumah. Sebab kalau diambil, di mana mereka akan tinggal?

Amru bin Al-‘As yang merupakan antara panglima perang yang hebat telah dihantar oleh Sayyidina Umar untuk menyerang Mesir. Setelah peperangan selesai, beliau mengarahkan tenteranya supaya menggulung semula khemah yang dipasang. Tenteranya naik kemudian turun semula.

Dia ternampak ada burung yang sedang mengeram telur di dalam sarangnya di atas khemah tersebut. Beliau berpesan supaya tidak mengusiknya dan membiarkan sahaja. Kalau ia diusik, kasihan sarangnya jatuh dan anaknya tidak sempat menetas.

Sekiranya kita mengamalkan Islam, banyak kebaikannya. Tetapi, kita tidak mengamalkannya sehingga timbul masalah. Kita berbalah sesama kita, dengan adik-beradik, anak-beranak dan orang kampung. Masalah ini berlaku di mana-mana sahaja.

Tambahan lagi, sekiranya tujuan kita nak uji kecekapan tangan, jadi kita pergi melastik burung, ini tidak dibenarkan dalam Islam. Melainkan sekiranya tujuan kita memang untuk makan burung, ini tidak mengapa. Ataupun saja-saja nak menebas pokok apalagi pokok yang mengeluarkan buah. Pokok yang berbunga sekalipun tidak boleh kita nak menebasnya dengan mudah-mudah.

Sekiranya kita memelihara lembu atau kambing, Islam mengajar supaya kita jangan menganiayanya. Kita boleh menggunakannya untuk gemburkan tanah setakat yang ia mampu. Kalau tidak, kita menzaliminya. Ada masa ia rehat dan makan dengan cukup.

Ada dalam hadis, seorang wanita yang walaupun tidak meninggalkan solat, puasa dan membaca al-Quran, tetapi dia masuk neraka kerana mengurung dan tidak memberi makan kepada kucing yang dipeliharanya (Rujuk Riwayat Muslim 2619). Dia diseksa kerana telah menzalimi binatang. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -