Mong Gajah bakal jadi destinasi panoramik terulung

- Advertisement -

ALOR SETAR: Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Mong Gajah Tasik Pedu di Padang Terap, merupakan salah satu inisiatif ke arah memperkasakan lagi sektor pelancongan di Kedah.

- Advertisement -

Berkonsepkan rekreasi terbuka, kawasan itu akan dilengkapi kemudahan asas yang sesuai khususnya kepada pengunjung dan penduduk setempat, demikian maklum Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

Menurut beliau, projek peningkatan kemudahan di kawasan terbabit bukan sahaja sebagai tarikan pengunjung menikmati khazanah alam, sebaliknya menjadi nilai tambah kepada Tasik Pedu itu sendiri.

“Tasik Pedu sememangnya sudah sedia terkenal itu, dengan adanya Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Mong Gajah ini sekali gus menjadikannya sebagai antara destinasi eko-pelancongan panoramik terulung di negara ini,” katanya.

Beliau terdahulu, menerima kunjungan hormat para pegawai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Pertemuan itu adalah bagi membincangkan serta bertukar pandangan
mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) termasuk taklimat mengenai dua projek utama yang sedang dijalankan oleh NCIA di Kedah pada masa ini.

Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan Mong Gajah Tasik Pedu, yang dijangka dimulakan pada penghujung tahun 2024 dan siap penghujung 2025 akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong menjelang 2026.

Dalam pada itu Dato’ Salleh yang juga ADUN Kubang Rotan pada perjumpaan tersebut, turut diberi taklimat mengenai Projek Integrated Economic And Community Centre (ICON) yang kini dilaksanakan di Daerah Yan dan Baling.

Selain mewujudkan 500  peluang pekerjaan kepada anak tempatan, projek berkenaan juga bertujuan untuk memacu ekonomi serta mewujudkan keusahawanan tempatan yang mampu merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Termasuk memberi manfaat kepada lebih 100 pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (SME), serta menjadi tarikan baharu di dua daerah tersebut di mana ICON Yan dijadualkan beroperasi pada bulan Februari 2025, manakala ICON Baling pula pada Mei tahun hadapan.

“Seikhlasnya, saya teruja dengan taklimat yang diberikan dan yakin projek-projek berkenaan akan memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri Kedah, termasuk sektor pelancongan dan keusahawanan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir pada kunjungan ini, semoga semua projek-projek berkenaan lancar sebagaimana yang direncanakan,” kata beliau.

Antara yang hadir pada pertemuan itu ialah Penolong Pengurus Besar NCIA Kedah-Perlis, Suhaila Mohd Nazer dan Pengurus Perancangan Strategik, Muhammad Soleh Mohamed Ramli serta Pegawai Kanan Perancangan Strategik, Nadzirah Kamaruddin dan Nor Hazwan Hadzir.

Sementara turut disertai Penolong Pegawai Perancang Bandar  Majlis Daerah Padang Terap, TPr Nur Aishah Ishak dan Ketua Unit Pentadbiran dan Pembangunan Prasarana Motac Kedah, Siti Hajar Md Yatim. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -