Impak buruk fahaman ‘childfree’ terhadap ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fahaman ‘kahwin tidak mahu anak’ (childfree marriage) bukan sahaja bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW tetapi juga mendatangkan kesan yang buruk kepada ekonomi negara ini.

Naib Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan, Pembangunan dan Pemerkasaan Wanita Malaysia (ARWA), Nurul Hidayah Zakaria berkata, istilah ‘childfree‘ sudah hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak rentetan luahan segelintir pasangan muda yang ingin melakukan sedemikian.

- Advertisement -

“Pada zaman sebelumnya masyarakat cenderung hendak memiliki keturunan tetapi kini pemahaman childfree mula masuk ke Malaysia dan diterima oleh segelintir pasangan muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Islam tidak mewajibkan pasangan memiliki anak hanya sekiranya terdapat sebarang sebab yang boleh membawa kepada kemudaratan dan keuzuran.

Namun begitu, kata beliau, mana-mana pasangan yang tidak mahu memiliki anak kerana menganggap anak sebagai bebanan kewangan adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW itu sendiri.

“Tambahan lagi, jika melihat dari perspektif ekonomi, konsep childfree di Malaysia juga berpotensi mengundang implikasi yang besar kepada ekonomi negara. 

“Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) dan Kadar Kelahiran di Malaysia sejak lima dekad lepas semakin menurun dan dijangka kadar pertumbuhan tahunan penduduk kekal menurun hingga mencecah paras 0.7 peratus pada tahun 2050. 

“Tambahan pula Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043, iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas. Perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan jumlah guna tenaga semakin berkurang pada masa hadapan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hidayah menyatakan kerajaan perlu melihat budaya childfree sebagai satu bentuk ancaman kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca-punca kenapa pasangan muda memilih konsep tersebut, bagi menyediakan insentif atau bantuan kepada pasangan yang enggan memiliki anak atas faktor-faktor tertentu.

Kata beliau lagi, kerajaan sepatutnnya mencontohi negara Jerman dan Sweden yang telah menawarkan pelbagai insentif supaya rakyat dapat menikmati keseimbangan antara keluarga dan kerjaya. 

“Malah, negara Singapura juga memberikan insentif fiskal untuk mendorong pasangan muda mempunyai anak, termasuk bantuan kewangan langsung dan sokongan infrastruktur seperti pusat pengasuhan.

“Langkah ini bertujuan untuk merangsang kelahiran, memelihara  kesejahteraan keluarga dan kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Maka, kerajaan perlu melihat perkara-perkara sebegini kerana fahaman childfree adalah jelas ancaman yang boleh memberikan kesan buruk terhadap ekonomi negara itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -