EPIC Solar perluas rangkaian perkhidmatan hijau

- Advertisement -

KEMAMAN: EPIC Solar Sdn. Bhd (ESSB) yang terlibat dalam pembangunan Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar Fotovoltaik berhasrat memperluas rangkaian perkhidmatan sebagai usaha mengetengahkan sumber tenaga solar dan teknologi hijau.

Pengerusi ESSB, Dr. Haji Mamad Puteh berkata, langkah itu selaras dengan komitmen anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) itu yang merupakan perintis dan pemacu projek solar di Pantai Timur. 

- Advertisement -

“ESSB merupakan syarikat pertama di Negeri Terengganu mempunyai ladang solar berkeluasan 70 ekar di kawasan perindustrian di sini. 

“Loji janakuasa ini menghasilkan sehingga 18.5 megawatt (MW) tenaga elektrik yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui grid nasional selama 21 tahun sehingga 2039, hasil Perjanjian Pembelian Kuasa atau Power Purchase Agreement (“PPA”) yang ditandatangani antara kedua-dua organisasi pada 2017,” katanya.

Beliau ketika demikian ketika merasmikan Majlis Meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan (LTI-Free) di Ladang Solar milik EPIC Berhad di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, di sini, semalam. 

Turut hadir  ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili.

Sementara itu, Ketua Syarikat ESSB, Azman Muda,, berkata, menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai dengan 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035 serta terus kekal menjana perubahan mampan perniagaan, pihak syarikat mengorak langkah menambah baik dan mempelbagaikan perkhidmatan.

“Bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau atau green port, ESBB turut menyediakan kemudahan dijanakuasakan tenaga solar, terutamanya bagi membantu operasi anak-anak syarikat EPIC Berhad. 

“Ini termasuk pemasangan lampu jalan solar (solar street light) dan lampu limpah solar (solar floodlight) di terminal Dermaga Timur atau East Wharf (EW) kelolaan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) dan di dermaga yang diuruskan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), selain beberapa lagi khidmat sokongan yang sedang dalam perancangan. 

“Perkhidmatan ini juga dilanjutkan kepada penyewa-penyewa utama di Pangkalan Bekalan Kemaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -